بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan
"Muna, rajin la you sapu sampah," suara itu memecah kesunyian.
Saya mengangkat muka. Sangka diri ini, hanya berseorangan di kelas. Maklum sahaja waktu rehat, semuanya bertebaran entah ke mana sebelum masuk ke kelas seterusnya.
"Oh, Logee. Ala, dah kotor sangat. Lagipun tak ada kerja. You tak rehat?"
Logee menggeleng.
"I vege. Di kantin tak ada makanan yang betul-betul untuk vege. Kalau sayur pun, kadang-kadang diorang letak belacan."
"Oh, tapi sejak bila pula you jadi vege?"
"Sebulan ni je. We all ada masa dia jadi vege, dalam satu tempoh tertentu saja."
"Oh.."
"Hey, I'm touched by your hardworking. Bagus la you."
Saya sekadar tersenyum nipis mendengar kata-kata daripada Logkeetha, seorang teman sekelas yang BELUM ISLAM.
Sambil menyapu, terdetik di hati saya sesuatu. Kata-kata Logee sebentar tadi benar-benar memberi kesan kepada saya. Bagaimana hanya dengan satu perlakuan mudah seperti menyapu sampah boleh membuatkan seseorang terutama yang non muslim tersentuh hatinya? Walaupun mungkin beliau hanya menuturkan dalam nada gurau, tapi keterbukaan hatinya untuk mengakui bahawa beliau tersentuh hanya apabila melihat seseorang menyapu sampah sebenarnya merupakan satu juzuk kecil dalam dakwah yang jarang kita lihat dengan serius.
Terkadang mata dan pandangan kita terlalu leka melihat sesuatu yang besar dan jauh, dan terlepas pandang akan satu-satu perkara kecil yang berada di hadapan mata. Walau sebenarnya permulaan untuk satu usaha besar itu adalah dengan usaha kecil, mungkin sekecil yang kadang kita langsung tak terfikir untuk lakukan. Big thing start from small, bukan?
Qudwah, misalnya. Menunjukkan perlakuan yang baik nampak mudah, bukan? Iyalah, sekadar menyapu sampah, atau mungkin sekadar menyapa teman di jalanan, atau mungkin sekadar senyum bila berselisih. Begitu mudah apa yang dinamakan qudwah itu. Saya mungkin tidak boleh memberi definisi tepat, dengan merujuk mana-mana ayat Quran atau hadis, cuma sekadar untuk kefahaman bersama, qudwah hasanah itu bukanlah sesuatu yang sukar.
Kita mungkin tidak perasan, setiap perlakuan kita sebenarnya sentiasa diperhati teman-teman kita yang belum Islam.(Kenapa belum Islam? Biarlah mudah-mudahan satu hari terbuka pintu hati teman-teman kita ini untuk bersama kita mengecapi nikmat Islam. Amin)
Pernah satu hari, seorang lagi rakan sekelas saya yang belum Islam ini bertanyakan sesuatu kepada saya perihal perkahwinan.
"Muna, you nak kahwin bila?"
"Insya Allah sampai masa nanti kahwin la I ni. Kenapa tiba-tiba tanya?"
"Saja la. You tak ada boyfriend kan?"
"Tak ada. Forbidden to have one actually. Why? You nak bagi boyfriend kat I ke?"
"I dah agak. Ala, you budak baik. Mana ada boyfriend2 ni kan? Yang lain I tak percaya sangat."
Dia senyum dan terus berlalu.
Ah, terkesan sebenarnya saya dengan kata-kata teman itu. Kalau ada kategori budak baik, tentu ada kategori sebaliknya. Dan kalau di fikiran mereka sendiri bahawa orang Islam ini ada 'yang baik', ada 'yang tak baik', dan mereka juga faham ciri-ciri yang dikatakan 'baik' dan 'tak baik' itu, seharusnya kita berasa malu kerana yang menonjolkan ciri-ciri dan sifat 'tak baik' itu adalah diri kita sendiri. Saya tak rasa mereka diberi kefahaman secara formal tentang apa yang dilarang dan ditegah di dalam Islam. Jadi dari mana mereka boleh dengan sendirinya tahu kategori 'Muslim baik' dan 'Muslim tak baik'? Sudah tentu dengan pengalaman dan pemerhatian!
Manusia ini secara zahir dan luarannya dinilai berdasarkan perlakuan dan perbuatannya, dan itu sememangnya satu fitrah manusia iaitu menilai sesuatu secara zahir untuk dijadikan sebagai tanggapan pertama atau first impression. Bayangkan apakah first impression teman belum Islam kita kepada Islam apabila dengan mata mereka melihat Islam melalui Muslim sekarang? Anak muda Muslim yang sibuk bercengkerama, anak muda Muslim yang merayau di shopping kompleks tak tentu hala, dan terlalu banyak untuk disebut. Betul, mereka tiada hak untuk menilai kita atau sesiapa sahaja, tapi mengapa mahu dilihat dari sudut itu? Untuk mengubah persepsi mereka adalah kita sendiri. Begitu mudah.
Sebagi kesimpulan, ingin saya mengajak teman-teman untuk muhasabah kembali perlakuan dan perbuatan kita setiap hari. Apakah kita membawa imej 'Muslim baik' atau sebaliknya? Walaupun sebenarnya tidak perlu ada istilah 'Muslim tak baik' kerana Islam itu ad-deen yang tiada cacat celanya, tetapi hanya dengan perlakuan kita yang tidak mencerminkan Islam sebagai deen itu telah mempalit kata nista kepada Islam, kita mungkin tidak sedar.
"'Izzah dan agungnya Islam itu bukan terletak pada majlis-majlis agama sahaja, atau bait-bait indah bacaan Al Quran Syeikh Masyari Rashid, atau lirik dan melodi menyentuh jiwa karya Maher Zain, tetapi ianya mungkin terletak di sebalik senyuman kita saban hari. Sekadar senyum, anda mungkin mampu mengubah persepsi sesuatu jiwa. "
IKLAN penyedap mata