بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan
"Muna..Muna!"
Tok..Tok.. Ketukan di pintu bertalu-talu.
Dia membuka mata. Berpinar-pinar. Terasa pening.
Pelik. Tiada sebarang ubat diambil sebelum tidur semalam. Tapi kepalanya berat semacam.
"Muna! Muna! Dah bangun ke belum?" Suara di luar pintu masih tidak bersahut.
Allah! Qilah!
Bingkas dia bangun, menuju ke meja. Teringat dia akan sms yang dikirim kepada 'Aqilah semalam sebelum tidur.
"Sebelum gi kelas, mai bilik. Nak bagi barang :)"
Tapi.. Kenapa meja ni bersepah sangat?
Tingkap terbuka. Beg tangan bersepah. Dan laptop..
Allah, mana laptop? Matanya meliar. Laptop di atas mejanya tiada!
"Allahuakbar! Qilah!"
Berdetak jantungnya. Baru dia sedar, keadaan biliknya sangat berkecamuk. Tingkap di bahagian atas dan bawah terbuka. Laptop di meja tiada. Handphone di bawah bantal juga tiada. Beg duit dan segala duit di dalam beg tangan juga hilang entah ke mana.
"Allah..Qilah!"
"Muna..Muna! Kenapa? Buka pintu ni Muna!"
Ketukan di pintu semakin kuat.
Dia membuka pintu. Cemas.
"Muna, kenapa ni? Apa jadi?" Si sahabat menerpa masuk.
"Bilik aku kena pecah masuk...Semua barang tak ada.."
"Masya Allah.. Tenang, Muna.. Tenang.."
Dia terduduk. Semuanya hilang dalam sekelip mata. Laju air mata itu mengalir....
.....
Dua minggu kemudian.
Dia merenung tingkap itu. Renung kosong. Jauh fikirannya melayang.
Dua minggu lepas, dia hidup dalam ketakutan. Sentiasa hidup dalam kebimbangan, bimbang ada yang mahu mengapa-apakannya. Hendak ditenung tingkap pun tidak berani. Separuh hatinya menuntut kesabaran. Separuh hatinya memarahi si penyamun. Semoga Allah mengampuni dosa aku dan kamu.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
Berulang kali ayat 216 surah Al Baqarah ini dibaca. Puas dibaca, ditadabbur maknanya. Menitik air matanya, perlahan.
Hai manusia. Begitu cepat kau berpuas hati dengan harta mu. Begitu megah kau akui semua itu milikmu. Begitu angkuh kau katakan semuanya hasil usahamu. Begitu bukan?
Nah, bila Allah kata, tiada satu pun harta di dunia ini milik kau! Tiada walau satu pun, wahai manusia yang angkuh! Siapa bilang semua itu milik kau, walau ianya dtg dari hasil titik peluh mu sendiri.. Hatta laptop, mahupun handphone, apatah lagi wang..
Allah.. dan bila-bila masa, nikmat dunia itu Allah boleh tarik balik.
Air matanya menitis lagi. Lebih laju.
Mungkin kerana harta bendanya itu, dia semakin lalai untuk beribadah kepada Nya. Allah..
Mungkin kerana harta bendanya itu, dia semakin jauh, tersasar niat dan tujuannya untuk mencari redha Allah..
Mungkin juga kerana hartanya itu, Allah murka kepada nya!
Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosa hamba Mu ini, ya Allah.
Saat ini, hatinya begitu kuat berterima kasih kepada si penyamun. :)
Benar, setiap yang Allah susun itu, begitu cantik. Sentiasa punya hikmah di sebaliknya.
Hatinya kini tenang.
Terima kasih Allah, atas nikmat pada musibah ini. :)