Thursday, March 21, 2013

Zalim Terhadap Rohani?


بسم الله الرحمن الرحيم
 Salam Perjuangan

Assalamualaikum sahabat-sahabat. 

Terpanggil untuk mencoret walaupun terpaksa mencuri-curi masa yang ada sementara anak bertuahku sedang lena. 

Alhamdulillah Jumaat ni anakku Muhammad Uwais genap 2 bulan. Pejam celik, pejam celik, sekejap sahaja dirasakan masa berlalu. Masih terbayang-bayang saat ketika di labour room, sakit pedih melahirkan seorang anak, dijahit dan kini tak sangka anakku ini sudah 2 bulan usianya. 

Tempoh berpantang saya gunakan sebaik mungkin untuk memuhasabah diri. Tika tempoh itu, dalam keadaan diri yang tidak suci, sangat mudah terasa jauh dengan Dia. Hati dan perasaan menjadi begitu mudah terluka dan sensitif. Entah mengapa, air mata mudah sahaja mengalir laju. Sampaikan Suami mengusik, "Sejak-sejak jadi Ummi ni, sensitif sungguh!"

Menjaga anak kecil memang bukan perkara mudah. Jika salah cara, memang tak dinafikan ibu bapa muda  yang baru mempunyai cahaya mata boleh alami tekanan perasaan sementelah hendak menyesuaikan diri dengan suasana baru. 

Saya juga pada awalnya agak kekok dan tidak betah dengan suasana baru yang perlu dilalui. Bila anak menangis, tak keruan berfikir, "Kenapa Uwais menangis? Apa yang dia nak? Sakit ke dia? Nak susu ke?"

Fakta : Menangis adalah salah satu cara bayi untuk berkomunikasi. Dan bila bayi menangis tak semestinya bermaksud dia lapar :)

44 hari tempoh berpantang sememangnya bukan sekejap, bagi orang macam saya yang suka berjalan. :)
Pada awalnya saya bercadang untuk menulis ketika dalam pantang. Namun agak tidak sesuai dengan kerenah Uwais saban hari. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk membaca. Itupun tak banyak buku yang dapat dihadam. 


Muhammad Uwais hari ke 4



Muhammad Uwais hari ke 36

Bila berhadapan dengan suasana baru ini, saya mula mencari 'strength point' saya. Pada awalnya saya terlalu bergantung kepada orang sekeliling saya terutama suami sebagai kekuatan saya, untuk memotivasikan diri. Namun bila si suami perlu pergi bertugas, saya mula kembali lemah. Tekanan perasaan yang dialami terasa semakin parah. Tambahan bila terasa keseorangan menjaga anak.

Sehingga suatu hari, saya terjumpa sebuah buku, hadiah seorang teman. Masih elok tidak terusik di rak. "Ya Allah Aku Tidak Layak Untuk Syurga Mu Namun Aku Juga takut Azab Neraka Mu". Begitu tajuknya. 



Terima kasih kepada awak yang memberi buku ini. Semoga Allah mengganjari mu dengan redha Nya

Diselak helai demi helai. Tanpa disedari air mata saya mula mengalir. Buku ini memberi jentikan kepada saya yang selama ini saya lupa, saya terasa jauh dengan Allah. Saya terlalu berharapkan manusia untuk mendengar rintihan saya, merasai kepedihan yang dialami, sedangkan Dia yang sepatutnya saya kembali. 

Untaian kata sang guru dan ayahanda terus mampir.

"Kita sentiasa memberi makanan yang enak-enak kepada badan kita, jasmani kita. Tapi adakah kita lakukan perkara yang sama kepada rohani kita? Adakah kita memberi hak yang sepatutnya kepada rohani kita? Adakah makanan rohani kita lazat dan cukup?"

Allah.

"Semua yang berlaku adalah datangnya dari Allah. Mata yang diperlihatkan. Hati yang diberikan rasa. Tangan yang digerakkan. Maka seharusnya apabila berlaku ujian, ingat ianya datang dari Allah jua. Kembalilah kepada Allah dalam apa jua keadaan."

Tersedar.

Ujian yang dihadapi adalah dari Allah. Anak ini anugerah Allah. Anugerah yang Allah hantar untuk menjadi tarbiyah buat diri. Kembalilah kepada Allah. Bersyukur untuk segala nikmatnya. 

Saya akui, saya antara yang melebihkan makanan jasmani dan berlaku zalim kepada rohani dengan tidak memberinya makanan yang sepatutnya. Tidak mustahil rohani ini tidak sihat. Tanda rohani yang tidak sihat adalah apabila hati sentiasa rasa tidak tenang, tekanan, stress, dan kerap mengeluh. Itu tandanya rohani kita tidak diberikan makanan yang sepatutnya.

Jiwa dan rohani yang sihat tidak akan mudah berasa tertekan dengan ujian yang berlaku, hatinya sentiasa tenang dan redha dengan ketentuan Allah. Kata Sidi Rohimuddin, "Orang yang stress adalah orang yang tidak redha dengan apa yang Allah tetapkan padanya."

Titik kekuatan setiap manusia itu bukanlah pada orang lain atau benda lain. Tetapi 'strength point' kita sebenarnya adalah hati kita. Seperti tagline rancangan Reset Minda bersama Prof Muhaya yang disiarkan di Astro Oasis : "Dalaman kita menentukan luaran kita"

Saya sepatutnya menjadi hamba yang sangat-sangat bersyukur dengan nikmat yang diberi. Setiap perkara yang mendatangi kita adalah nikmat. Musibah juga adalah nikmat, andai kita memandangnya sebagai satu nikmat. Semuanya bermula dari dalam diri kita. :)

Sahabat, ayuh bersikap adil kepada rohani kita, seperti mana kita adil terhadap jasmani kita. Bersikap adil dengan memberinya makanan yang sesuai dan lazat. Bukan makanan yang boleh merosakkan rohani kita. Mulakan dengan hati yang sentiasa mengingat Allah. Mengingat Allah dalam setiap sesuatu. Hati yang tidak kering dari mengingat Allah insya Allah akan lebih sihat! :)




Doakan kami mampu mendidik anak ini menjadi umpama Uwais Al Qarni. :)


 

 

A.L-'I.Z.Z.A.H Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template In collaboration with fifa
and web hosting