Wednesday, October 28, 2009

"Hidayah Hak Milik Allah" Bukan Alasan Untuk Berhenti


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan


*Menulis ketika sedang menunggu rendering video gimik Mahrojan Lughah Arabiy, Selasa lepas.


.....................

Kisah 1

"Siapa di sini mengatakan dakwah (non muslim) itu wajib?"

Pertanyaan bro Shah Kirit pada Seminar Perbandingan Agama di PSP Sabtu lepas menyentakkan lamunan. Jauh benar melayang memikirkan mengenai program penanaman semula bakau esok hari. Ah, wahai diri, sila fokus!

Tanpa berfikir terus mengangkat tangan, bersetuju dengan pernyataan itu.

"Sampaikan daripada ku walau satu ayat"


"Baiklah, adakah solat lima waktu itu wajib?" duga bro Shah.

"Wajib!" Serentak seisi dewan menjawab.

"Puasa di bulan Ramadhan? Wajib atau tidak?"

"Wajib!"

"Kalau kita tinggalkan solat, dosa atau tak?" bro Shah sengaja menduga audiens pada hari itu yang majoritinya pelajar sem 1 di politeknik tersebut. Hanya beberapa orang daripada IPT lain termasuk diri ini.

"Dosa! Mestilah"

"Jadi, kalau kita tak berdakwah kepada non muslim, dosa atau tak?"

Senyap. Seisi dewan berpandangan sesama sendiri. Saya sekadar tersenyum. Sudah jangka soalan ini.

"Dosa atau tak?" sekali lagi bro Shah bertanya.

"Dosa...er..kot.."

Bro Shah Kirit juga tersenyum....

.........................................

Kisah 2

"Seronok betul program ni. Aku suka outdoor macam ni. Kalau ada lagi, jangan lupa jemput aku lagi ye!" Bahu ditepuk kuat. Hampir tersembur makanan di mulut.

Kunyahan terhenti. Dia masih bergelak ketawa, bergembira lagi gamaknya.

"Jadi, nak pergi lagi? Sebab seronok? So, ini hanya sekadar program?"

Diam.

"Err. Maksud aku, seronok juga berdakwah ni...Eh, tak.. At least dapat pengalaman best macam ni.." teragak dia menjawab.

Keluhan berat dilepaskan.

"Dakwah bukan untuk berseronok, dakwah bukan sekadar program, dakwah bukan sekadar pengalaman, faham dahulu tujuan kau ke program ni, dan klimaksnya adalah siapa diri kau selepas program." Terus berlalu meninggalkan dia yang terpinga-pinga.


Maaf, saya tak dapat terima.

...........................


Terkadang dalam menempuh hidup seharian, terlalu banyak perkara dilalui untuk dihadami. Pahit atau manis, tiada jalan lain, harus dihadami dan dicerna sebaik mungkin supaya tidak sekadar menjadi sisipan dalam hidup. Lebih menguji, bila mengabdikan diri sebagai jundullah di jalan juang ini, banyak yang pahit dari yang manis. Hanya janji-janji Allah terus bergema dalam degupan jantung, menguatkan langkah menjadikan yang pahit itu manis.

Lazimnya bila manusia itu mengajak kepada kebaikan maka yang menolak malah mencemuhnya adalah sama banyak dengan yang meraikannya. Bukan meminta untuk perhatian, jauh sekali untuk meraih nama, namun cemuhan mengatakan hipokrit, lagak baik itu kadang-kadang bisa mengguris hati lantas mengambil keputusan menjauhkan diri daripada jalan ini. Merajuk kononnya untuk berjuang.

Tetapi, ingatkah kita kepada Pendakwah Teragung, Rasulullah S.A.W, bila mana baginda dicerca, dihina, diludah, malah berkali-kali cubaan membunuh baginda, namun baginda masih di situ, utuh memegang janji-janji Allah, bahawa Islam pasti menang jua satu hari nanti.

Tugas kita bukan memaksa perubahan, cuma menyampai pesan.

Pernah usai satu program, saya terasa diuji dengan ujian paling berat melalui rakan-rakan saya sendiri. Puas rasanya untuk menanam kefahaman dalam diri mereka tentang tujuan sebenar program itu, dan ganjaran Allah kepada para pejuang ini. Niat di hati sekadar mahu berkongsi betapa sebenarnya saya berdosa bila mengenangkan banyak tanggungjawab sebagai penyampai pesan diletakkan nombor dua selepas dunia. Entah mengapa saya begitu berkecil hati bila tiada yang cuba memahami tugas ini malahan mentertawakan saya di saat saya mencari dahan untuk bergantung. Sungguh terkilan.

Namun, saya lupa pada kalam Allah yang memujuk para da'ie ini..

272. Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat pertunjuk, (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan pertunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi pertunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya).

Al Baqarah


Benar tanpa disangkal lagi, hidayah itu hak milik mutlak Allah. Tiada siapa yang berhak ke atasnya melainkan Allah yang Maha Mengetahui. Para du'at ini sepatutnya tidak perlu berkecil hati kiranya dakwah kita ditolak oleh mad'u apatah lagi jika dicerca dan dihina kerana sesungguhnya tidaklah kita punya sebarang kuasa untuk mengurniakan hidayah kepadanya atau sesiapa sahaja, cukup sekadar menyampaikan pesan-pesan Allah berdasarkan Qur'an dan Sunnah. Namun jangan pernah berhenti daripada menyampaikan pesan kerana itu sememangnya tanggungjawab setiap insan. Dakwah tidak pernah berehat. Maka usahlah sesekali berehat daripada kerja-kerja dakwah ini kerana dikhuatiri sekali mula merehatkan diri, mula bermalas-malasan, dan seterusnya menjadi penyakit yang menular merosakkan hati dalam proses pemburuan mardhatillah..

Tetapi harus diingat, jangan disalah ertikan apabila mengatakan hidayah itu hak milik Allah, maka dengan sewenang-wenangnya segala perkara digantungkan kepada hidayah Allah. Misalnya,

"belum sampai seru.."

"tak dapat hidayah lagi.."

"ini semua kerja Allah,

11. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.

Ar Ra'd


Biarpun hidayah itu hak milik Allah, namun ianya tetap tidak akan datang bergolek. Manusia harus berusaha untuk mendapatkan hidayah Allah ini. Silapnya manusia ini apabila ditimpa kesenangan dengan bangganya mengakui segalanya adalah hasil titik peluh sendiri walhal tidaklah akan terjadi sesuatu tanpa izinnya. Dan apabila sahaja ditimpa kecelakaan, segalanya diserahkan bulat-bulat kepada Allah, Allah telah menetapkan begitu, begini. Manusia sememangnya mudah lupa.


Dakwah tidak memerlukan kita, tetapi kita yang memerlukan dakwah.

Jadi wahai para mujahidin, jundullah, ansarullah, da'ie, usahlah sesekali tunduk lalu mundur dalam perjuangan ini apabila ditolak oleh manusia. Didik diri dalam melayari bahtera hidup sebagai pendakwah ini. Bukanlah dinamakan perjuangan jika tidak diuji. Usah juga dilupakan bahawa segala bentuk dakwah ini kesannya tidak lain untuk diri sendiri juga. Berdakwah sambil mengislahkan diri sendiri. Oleh sebab itu hendaklah para Du'at ini memberi perhatian yang besar kepada proses penggarapan berbanding penyampaian. Hendaklah kita meningkatkan usaha-usaha penjernihan diri sendiri sebagai usaha untuk untuk meningkatkan orang lain. Orang yang mendidik dirinya lebih wajar mendapat penghormatan dari orang yang mendidik manusia lain.


_____________

Rujukan : Qawarib Al Najat fi Hayat Al Du'ah, Fathi Yakan
Tafsir Quran Karim










2 dah komen wuu~:

lillah أم هريرة on 2:48 AM said...

stuju......... (^,~)V

best kan gi comparativ religion...

dlu masa first2 akk gi klas Bro Kamaruddin...

then kedahagaan ilmu mendorong akk blaja dgn Bro Lim pulak...

then akk pnh join klas Bro Shah...

bila btmu pdkwh2 mantap ni, dpt mengembalikn semangat kita yg makin lama makin lemah..

ibarat bateri kene charge....

Anonymous said...

akak suka baca penulisan kamu. Membakar semangat akak. Akak dah lama tak terbakar dengan kata2 semangat nie. Hehe.. Teruskan menulis demi kebenaranNYA.

=)

 

A.L-'I.Z.Z.A.H Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template In collaboration with fifa
and web hosting