Tuesday, December 22, 2009

Catatan Kembara Sepasang Kaki : Episod 3 [Seminar Islamic Worldview & Syarahan Perdana Syed Naquib Al Attas]


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan

Untuk episod kali ini saya akan terus berbicara tentang hari Islamic Worldview Seminar itu tanpa sebarang cerita panjang yang meleret yang membuatkan anda akan menyumpahseranah saya.

13 Disember 2009

Cadangan untuk ke seminar ini sudah lama muncul di benak mindaku sejak brader Wan mengiklankannya di laman sesawang beliau. Untuk ke sana tanpa teman tiada masalah bagiku cuma kekurangan dari segi pengangkutan dan penginapan membuatkan aku berharap agar ada antara teman yang juga berhajat ke sana. Ah, Tuhan perkenankan permintaanku apabila satu hari kala membuka laman Facebook, Kak Lillah turut menyuarakan rasa hati untuk sama-sama berada dalam majlis yang bukan calang-calang majlis itu. Syukur Allah permudahkan segalanya bila Kak Lillah mempelawa untuk tidur semalam di rumahnya. Thanks a bunch, Kak Lillah and family. Kak Romlah too :)) Dan sekali lagi Tuhan mendengar permintaanku apabila Attiq juga turut menyertai kami.

Seminar anjuran PKPIM dan Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dgn kerjasama Institut Integriti Malaysia ini rupanya telah hampir setahun dirancang dan alhamdulillah kelihatan wajah lega mereka ahli jawatankuasa lega mungkin dengan perjalanan majlis yang sejak pagi lancar dan dengan hanya beberapa kesilapan teknikal telah berlaku tanpa mencacatkan keseluruhan majlis. Tahniah untuk para AJK.

Otak kami dicabar dengan santapan minda yang enak sekali, setelah agak lama berehat. Ah lega sekali. Satu lagi tempat di mana aku boleh berlama-lama selama mungkin pun. Ya. Aku suka.:)

Seharian anak-anak didik Prof Syed Mohamad Naquib Al Attas antaranya Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, Dr Farid Shahran, Dr Zaidi Ismail, Dr Adi Setia, Dr Sani Badron, dan beberapa cendekiawan terkenal yang serta seseorang yang menjadi center of attraction pada hari itu selain daripada Prof Syed Mohamad Naquib Al Attas iaitu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifudin Abdullah yang begitu humble sekali, tiada protokol, tiada ucapan kempen berbaur politik, cuma ucapan ringkas yang bagi saya cukup bermakna dan beliau membuktikan bahawa betapa tinggi mana pun jawatan seseorang itu dalam masyarakat, hormat dan adab terhadap guru tetap harus diutamakan.Susah untuk ketemu ahli politik bersama ucapan yang tidak menyentuh langsung hal politik dan setakat ini baru ketemu dua iaitu Allahyarham Dato' Razaleigh Ismail dan beliau. Ucapan yang sangat bernas, menampakkan tahap pemikiran dan keprofesionalan mereka.


"Dalam kekeringan dan kelesuan ini, sukar utk kita mencari yg tulen, jadi sekiranya ada yg sedikit itu, jangan pula kita membunuhnya"


Mendengar ucapan perasmian sahaja menjadikan para peserta seminar lebih bersemangat dan teruja untuk sampai ke kemuncak majlis iaitu syarahan perdana daripada mahaguru pemikir Islam ulung, Profesor Syed Muhamad Naquib Al Attas yang dijadualkan akan berlangsung pada malamnya.

Kami setiap satu dibekalkan kertas kerja setiap pembentang kerana masa yang diperuntukkan kepada setiap mereka adalah sangat terhad, maka setiap pembentangan amat padat, ringkas dan difahami audiens. Oleh itu set-set kertas kerja yang diberikan kepada peserta amat bermanfaat sebagai bahan rujukan untuk masa akan datang.

"Pandangan alam Islam merupakan peta yang membawa arah kehidupan manusia, dan ulama' sebagai pembaca peta"
"HARUS untuk kita berpemimpinkan pemimpin yang fasik atau zalim kerana manusia tidak maksum, tetapi jangan MEMBENARKAN kefasikannya"
"Jangan nampak kelemahan yang sedikit tetapi membutakan mata pada kebaikan yang banyak"

Antara yang sempat dicatitkan semasa Prof Wan Mohd Nor Wan Daud memberikan ucap utamanya.

Aku kerap kali tersenyum sendirian apabila mendengar segala isi pembentangan para cendekiawan di hadapan kerana sebelum ini dalam usrah Abang Nizam Mahsyar, buku Prof Syed Naquib merupakan kitab utama rujukan beliau (mungkin) dan istilah-istilah ini bukan satu istilah yang asing lagi dalam usrah kami. Ah sekurang-kurangnya tidaklah aku termangu-mangu ketandusan erti setiap istilah yang digunakan. Kebetulan pula bertemu si naqib usrah ini, beliau juga terkejut melihat kami :)

Jelas sekali isi seminar dan syarahan lanjutan adalah untuk menegaskan tentang pentingnya untuk faham tentang pandangan alam Islam (Islamic Worldview) dalam setiap perincian aspek kehidupan, ma'na kata bukan hanya menjadi satu dasar dalam bidang politik mahupun ekonomi atau ketenteraan. Tetapi setiap perincian kehidupan dan pandangan alam Islam itu adalah sebagai peta yang membawa arah kehidupan manusia.

Dalam usaha untuk mewujudkan negara Islam, haruslah segalanya bermula dengan Islamisasi individu melalui islamisasi peribadinya. Apabila sosok pemikirannya telah dikuasai oleh kerangka pandangan Islam, maka setiap tindak tanduknya, akhlaknya, peribadinya, ekonominya, pemerintahannya, segala-galanya berjalan dalam lingkungan Islamic Worldview. Dan untuk menguasai akal fikiran manusia, adalah hanya dengan ilmu pengetahuan. Dalam Al Quran penekanan terhadap ilmu pengetahuan begitu fundamental sekali.

Mengikut Syed Naquib Al Attas, masalah utama yang melanda umat Islam sekarang bukanlah masalah yang terzahir nampak seperti masalah kemiskinan, peperangan, ekonomi dan lain-lain tetapi adalah masalah pemikiran umat Islam sendiri ya'ni kekacauan dan kekeliruan dalam ilmu pengetahuan yang membuatkan umat Islam hilang adab terhadap ilmu pengetahuan. Apabila adab terhadap ilmu itu hilang, maka pemimpin yang lahir juga tempang dalam segenap aspek. Jenayah intelektual berlaku di sana sini apabila sesuatu ilmu itu diletakkan pada tempat yang salah. Misalnya bagi kata 'adil. 'Adil itu dalam Islam membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Lawan katanya adalah zalim. Apabila kata 'adil itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, menjadi justice atau fair. Kedua-dua perkataan ini membawa maksud setara, atau sama taraf. Walhal bukan itu ma'na sebenar yang dibawa kata 'adil dalam Islam. Maka 'adil itu bukan justice. Islam itu cukup 'adil, namun di sinilah puak-puak Islam liberal mencari alasan dengan mengatakan Islam itu tidak 'adil pada wanita. Ah, mereka harus teliti dulu maksud istilah-istilah dan term yang digunakan.

Untuk membicarakan keseluruhan isi seminar dan syarahan, adalah di luar kemampuanku. Aku cuba berlaku 'adil :)

Aku tertarik dengan satu pertanyaan daripada seorang peserta dan dijawab dengan penuh tenang oleh Dr Khalif Muammar.

S : Saya nampak perbincangan kita pada hari ini terlalu tinggi melangit, sedangkan realiti yang berlaku di luar seakan tiada kaitan dengan perbincangan ini. Bagaimana untuk kita membumikan perbincangan yang melangit ini?

J : Perbincangan kita tidak melangit untuk pengetahuan saudara sekalian. Apa yang berlaku di luar sana berpunca daripada kekeliruan dalam memahami Islamic Worldview, dan kita di sini berbincang mengenainya untuk membetulkan fahaman ini, segalanya bermula dengan membentuk fahaman dalaman individu, yang kelaknya menjadi pemimpin. Nah, di situ tugas pemimpin. [ok. aku edit banyak]

Semakin aku mendekati gagasan pemikiran Syed Naquib Al Attas ini semakin aku jelas dengan tugas yang bakal digalas di bahu kelak. Di situ peranan seorang guru, iaitu memudahkan segala gagasan ilmu pemikiran ini untuk dihadam oleh masyarakat. Tak semua pihak boleh faham dengan pemikiran sebegini, silap-silap boleh dikatakan gila jika guru bercerita tentang sekularisasi dalam pendidikan, gagasan ta'dib, islam liberal dalam kelas yang muridnya berumur 10 tahun. Ya, itu kerja gila. Jadi di sini tugas para guru dalam membentuk kerangka pemikiran mengikut Islamic worldview dalam individu khususnya para pelajar yang bakal menjadi pemimpin masa depan. Guru sebagai pemudahcara :)

Catatan kembara kali ini adalah hanya permulaan kepada sebahagian daripada ilmu yang diperoleh. Insya Allah perkongsian akan berterusan. :))
















1 dah komen wuu~:

lillah أم هريرة on 12:50 AM said...

inshaAllah ada peluang kita dpt ketemu lg... =)

all the best dik.. take care iman & kchtn.. =)

 

A.L-'I.Z.Z.A.H Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template In collaboration with fifa
and web hosting