Sunday, September 13, 2009

Jom Isi Lompong dalam Soff!


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan


Untuk kali pertama di bulan Ramadhan berhujung minggu di asrama. Rindu pula suasana pagi yang dahulunya diisi konon-kononnya penuh kecergasan berjoging tapi bila sampai padang sahaja mula tercungap. Cukup rindu suasana itu.. :)

Dan untuk kesekian kalinya sengaja saya menjerumuskan diri dalam 'social networking' paling masyhur zaman ini. Terasa semacam perlu pula lantas butang sign up facebook diketik. Insya Allah niat hati itu bukan kerana apa-apa atau siapa-siapa lantaran kewajipan dalam menyeru (ya, setahap WAJIB). Laman ini mungkin menjadi medan perantaraan terbaik untuk mendekati sahabat-sahabat di luar sana yang secara peribadinya, saya rasa kian jauh dengan saya. Bukan lagi minat saya untuk berkenal-kenalan di alam maya berbumbungkan minat genre muzik yang sama, atau bernaung bangga sebagai ahli kelab peminat si artis, namun terasa khauf menyelinap dalam diri. Apa akan saya jawab di akhirat kelak jika ditanya kepada sahabat-sahabat, di mana saya kala diperlukan? Sibuk berprogram sehingga lupa kewajipan yang sebenar? Lupa akan tanggungjawab kepada sahabat? Maaf, saya tak berniat mengabaikan kalian :(

Aduh, tanpa sedar keluhan kecil terlepas kala mula merayap-rayap singgah di laman sahabat seinstitusi. Rasa khauf itu semakin menebal. Jauh sungguhkah aku meninggalkan mereka sehingga begini besar jurang yang ku rasa?

Fikiran menerawang jauh, cukup jauh menembusi alam maya tanpa sempadan ini.

Apakah amalan ku dihitung sekiranya sahabat-sahabat di sekeliling seakan-akan terabai dan semakin jauh dari jalan yang ku pilih ini? Maafkan ku, Ya Khaliq.

Sahabat, ketahuilah jalan juang ku ini bukan jalan aku seorang. Masih banyak lompong yang perlu diisi, yang pastinya diisi dengan kalian, bukan siapa-siapa, bukan orang lain. Tiada kelayakan diperlukan apatah lagi resume untuk dihantar kepada siapa-siapa, cukup bersandarkan niat kerana Dia dalam mencari keikhlasan itu. Jangan kalian sampai hati membiarkan aku termangu-mangu keseorangan dalam barisan ini, teraba-raba mencari redha Nya, ayuh pimpin tanganku dan bersama-sama kita perkukuhkan barisan ini.

Tidakkah kalian tahu, barisan kita semakin goyah? Hampir tumbang realitinya namun Dia masih sayangkan kita, dan kita masih perlukan Dia demi melihat kalimah Allah bertebaran di muka bumi. Serangan penyakit wahan itu kencang menyerang, perlahan namun pantas dan hampir kita sendiri yang berada dalam barisan itu rebah tunduk pada penyakit satu ini.

Nabi bersabda:
“Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti mana orang-orang mengerumuni sesuatu hidangan.”
Berkata seorang sahabat: “Adakah ia lantaran jumlah kita yang sedikit?”
Nabi menjawab: “Tidak, sebaliknya kamu ramai tetapi kamu menjadi seperti buih-buih ketika berlaku banjir. Allah mencabut rasa gerun dari hati musuhmu dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hatimu.” Sahabat-sahabat bertanya:
“Apakah dia al-wahan?”
Bersabda Nabi: “Cintakan dunia dan takutkan mati.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud.

Kadang diri sendiri juga seakan hanyut dibuai penyakit wahanisme ini, namun sememangnya wajib saya bersyukur kepada Nya kerana mengurniakan sahabat seperjuangan yang tak jemu menegur kesilapan dan khilaf diri. Syukur sangaat :)

Hai pemuda pemudi, usah sekali-kali menyerah diri kalian mengabdikan pada benda yang tak pasti. Kebahagiaan diulit nafsu serakah dunia itu sementara sifatnya dan hanya satu yang kekal selamanya hingga ke hari kelak - Janji Allah.

Senyum sinis pasti tersungging di bibir kalian mendengar seruan-seruan 'cliche' ini. Membosankan. Sentiasa bercakap benda yang sama. Agama, agama, agama. Jadi kenapa tidak disahut cabaran itu, fikir tentang apa yang diseru. Seruan itu tentu bersebab. Dan pastinya sebab yang pasti jika Islam yang dijanjikan. Seruan yang dikatakan 'cliche' ini indah hakikatnya. Seindah yang tak akan dapat tergambar. Kerana hanya dengan jalan seruan ini, hidup itu terasa puas. Hanya dengan Islam, hidup terasa bermakna. Ini satu jaminan dari saya! :)
Nak cuba?

suarahati : seorang sahabat bertanya ciri suami yang dikehendaki. Jawab saya, saya tak nak sekadar 'suami', saya perlukan pejuang untuk saya terus berjuang dan membantu perjuangannya. Demi Islam. :)















0 dah komen wuu~:

 

A.L-'I.Z.Z.A.H Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template In collaboration with fifa
and web hosting