بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan
Ketika saya menulis ini, saya sedang berada berseorangan di rumah tok di Derga, Alor Star. Sayu pula rasa melihat satu demi satu keluarga pulang kembali ke rumah masing-masing demi melunaskan tanggungjawab yang sedia menanti.
.........
Ali Taqi. Watak utama dalam "Tuhan Manusia" karya Faisal Tehrani. Ya, benar. Saya sedang cuba memahami Faisal Tehrani dan ideologinya melalui karya-karyanya. Saya tercabar dengan Ali Taqi, cemburu jua. Di mana saya boleh mencari Ali Taqi dalam diri saya?
Ali Taqi, abangnya Talha, mangsa si laknat liberalis, murtad. Ayahnya membungkam berduka sejak Talha bangga mengumumkan telah memilih jalan sesat itu. Dan Ali Taqi, menjadi remaja yang mula menggilai falsafah, mencari jawapan kepada persoalan pluralisme yang mendorong kepada kemurtadan Talha. Terlalu lama dia menyimpan duka di dalam hatinya. Duka seorang adik kepada seorang yang pernah mengaku Muslim tapi akhirnya tewas tunduk pada falsafah-falsafah hidup bijak pandai yang menolak kalimah Tauhid, cuba terus-terus mengasingkan kehidupan dengan agama, dan dengan jahilnya mengatakan semua agama itu sama, yang baik akan masuk syurga dan sebaliknya. Bebal.
Demi Allah, saya membaca novel ini penuh emosional. Jarang saya cuba menyelami watak-watak yang ada dalam sesebuah karya sehingga begitu mendalam, sehingga dapat merasai bahang semangat yang ditonjolkan oleh watak Ali Taqi. Seiring dalam pencariannya kepada persoalan yang bermain dalam benak mindanya, dia mencari erti kata hikmah ibunya
"Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama"
Cukup mendalam maksudnya. Semakin dia menghampiri kepada jawapan-jawapan yang dicari, semakin membawa Ali Taqi kepada apa yang ingin ibunya sampaikan.
Ali Taqi membawa saya mendalami erti perjuangan saya yang sebenar, nawaitu untuk berjuang itu. Benar-benar kerana Allah atau sekadar retorik atas nama sanjungan manusia? Di mana letaknya ikhlas saya dalam hati ini? Ali Taqi benar-benar memahami perjuangannya dalam falsafah mencari kebenaran, saya cemburu bila dia benar-benar menghadami bahan bacaannya. Ya, mungkin sekadar watak yang tak wujud demi mengukuhkan jalan cerita, namun saya yakin Ali Taqi bukan sekadar watak novel. Faisal Tehrani melalui Tuhan Manusia dan Ali Taqi memberi pencerahan yang spesifik tentang sekularisme yang kemudiannya bercabang menjadi liberalisme dan seterusnya pluralisme.
Saya mendapat pencerahan mengenai dasar-dasar pemikiran yang sesat lagi menyesatkan ini melalui Tuhan Manusia. Saya akui saya agak termangu-mangu terutama ketika Abang Nizam Mahsyar sering menyebut tentang sekularisme, liberalisme dan pluraslime. Saya faham situasinya, tapi tidak akar umbinya membuatkan kadang-kadang tanpa disedari telah mentaklid membabi buta informasi yang disampaikan.
Pernah saya bertanya kepada ibu saudara saya, Ustazah Nawal, mengapa kita umat Islam terlalu mudah tewas dengan hasutan dunia, tak kan semuanya salah puak yang nak ambil kesempatan kerana memang telah disebut dalam Al Qur'an bahawa tidak akan mereka (Yahudi dan Nasrani) untuk bersenang lenang sehingga mengikuti agama mereka (Al Baqarah 120). Dan tentunya mereka mengambil kesempatan kerana kelemahan dan kerapuhan umat Islam itu sendiri, lemahnya kerana tidak memegang Al Qur'an dan Sunnah sebagai pegangan hidup, tidak menjadikan hukum Syariah sebagai penyusun aturcara hidup. Sedangkan dalam Al Quran, dalam surah Ad Dzariyat, tidak saya ingat ayat ke berapa telah Allah terangkan tujuan penciptaan manusia ini. Mengapa orang Yahudi boleh begitu kuat memegang ajaran kitab nya yang mendesah untuk terus memerangi Islam?
"apa nak pelik..kalau tidak allah tak buat la neraka..senang kan jawapan tu.."
"'wahadainahun najdain..dan kami berikan pilihan kepada mereka(yakni manusia) 2 jalan..nak jadi ashabul yamin..atau memilih untuk jadi ashabusy syimal.."
Mudah jawapannya bak kata beliau. Benar. Dan sesungguhnya hidayah itu hak milik mutlak Allah S.W.T. Hanya Dia berhak ke atasnya.
Tentang pluralisme. Semua agama dikatakan sama. Mana mungkin. Mustahil untuk mengatakan dalam masa yang sama bahawa ikan ialah ikan dan juga ikan bukan ikan. Sama seperti konsep penyatuan agama ini. Mana mungkin kita menerima keesaan Allah dalam masa yang sama kita menerima konsep Trinity dalam Kristian. Sememangnya fahaman pluralisme ini karut! Biadab juga bila menyamakan Islam seperti agama lain, sedangkan telah Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 110, sesungguhnya umat Islam adalah umat terbaik. Entah di mana letak iman mereka bila sewenang-wenangnya mencela syariah dan hukum Allah bila mengatakan konflik yang terjadi pada dunia sekarang adalah kerana agama, maka seharusnya penyatuan agama itu dilakukan demi keamanan sejagat. Bebal. Puak-puak yang sebeginilah sebenarnya yang mewujudkan konflik dan seterusnya membawa kepada perpecahan umat.
Ah. Mana mungkin kita akan berdiam diri bila Islam ditentang, syariah dihina. Jika dalam realiti semasa yang berlaku sekarang, ramai yang memberi tanggapan ia berkaitan hal politik. Ini bukan soal politik, ini soal Islam, agama kita, agama Rasulullah, Deen Allah! Sepatutnya bila syariah dikatakan ekstrem, hukum hudud/qisas ditentang, bukan satu parti politik sahaja yang bangkit melawan, tapi tak kira sesiapa yang mengaku dirinya Islam,bangkit juga, ahh, dayus betul kita, diamkan sahaja bila Islam dihina dan ditentang??
Dunia membuatkan saya semakin hilang sabar.
Dan mungkinkah akan ada Ali Taqi dalam diri ini?
0 dah komen wuu~:
Post a Comment