Wednesday, October 21, 2009

Bila Berdiam Diri Itu Tidak Selalu Lebih Baik


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan

Membelek-belek Dewan Masyarakat Oktober 2009 sepintas lalu kala terpandang tajuk di kulit hadapan tulisan seorang kolumnis jemputan dan tajuk yang diketengahkan itu yang menarik perhatian saya untuk membelek lebih lama majalah tersebut.

"Mengatasi Kelesuan Mahasiswa"

Ini yang saya cari. Lesunya mahasiswa sekarang hingga dipandang begitu rendah di tahap tiada apa yang golongan ini boleh sumbangkan. Begitu lesukah mahasiswa kita? Lesu yang bagaimana?

Suara mahasiswa adalah suara ketiga dalam negara ini. Hakikatnya sekarang pemerintah lebih terkesan dengan suara ketiga berbanding dengan suara di parlimen. Hebat rupanya penangan yang bergelar mahasiswa ini. Tidak sekadar berdegar-degar di hostel mahupun kampus tetapi suara mereka inilah sebenarnya antara yang mencorak negara dari segi pentadbiran, pengurusan mahupun hal-hal kecil. Ya, mahasiswa kita kini menggoncang dunia dengan idealisme unggul dan berada di barisan hadapan sekali ketika berpencak di gelanggang intelektualisme. Hujah yang dilontarkan tiada yang bisa disangkal, dan mereka inilah yang bakal memimpin dunia satu ketika nanti.

Eh. Sebentar. Bermimpikah saya?

Realitinya mungkin tiada yang jauh beza. Ya, saya tidak bermimpi. Mereka yang bergelar mahasiswa kini memang punya idealisme, hujah-hujah yang mantap dan suara yang bakal bergegar di parlimen. Mungkin sedikit berbeza apabila idealisme yang dimaksudkan adalah idealisme hiburan semata yang berkiblatkan modenisme barat, hujah yang mantap bila diminta untuk memberi alasan menagguhkan kelas atau kuliah, suara di parlimen bila tiada lain yang dibangkitkan hanya isu samseng jalanan, gejala sosial yang semuanya adalah perihal remaja yang bergelar mahasiswa!

Diam itu lebih baik.

Pernah saya mendapat respon sebegini bila mengajak beberapa teman untuk turun sama-sama ke lapangan mendekati masyarakat terutama golongan remaja. Sekadar mampu tersenyum biar pahit untuk mendengar.

Apakah benar berdiam lebih baik? Berdiam diri apabila melihat satu demi satu anak remaja kita lemas dibawa arus dunia, mendiamkan diri tatkala saudara-saudara seagama kita di Padang merayu meminta belas dan ihsan, masih membisu bila melihat kebobrokan sistem pendidikan kita, dan yang paling hina sekali bila berdiam diri itu lebih baik apabila melihat satu demi satu tujahan penghinaan terhadap Islam dilakukan golongan laknat Liberalis si pembawa agenda Yahudi.

Sakit hati bagai dirobek-robek bila situasi diam diri ini menjadi satu budaya hidup dalam kalangan mahasiswa dan tidak keterlaluan untuk dikatakan terutama dalam kalangan mahasiswa keguruan kita. Akta 174 menjadi seakan-akan satu jembalang yang menghantui hidup para bakal guru ini bila setiap perkara WAJIB dirujuk mengikut akta ini dan dengan sesenang-senangnya menghiraukan hukum dan undang-undang yang paling adil, paling telus tanpa sebarang korupsi, paling tepat dan yang paling harus diikuti iaitu hukum Allah.

Pelik benar bila manusia ini terlalu taksub dan fanatik pada hukum yang dicipta sendiri lantas menafikan hukum Sang Pencipta. Kelakar juga bila mana manusia lebih takutkan hukuman di dunia berbanding hukuman di akhirat kelak. Teruskan, teruskan dengan rasa taksub itu, rasa taksub yang menjerat diri sendiri, pembohongan demi pembohongan demi meraih kepercayaan manusia, dan sila fikirkan jawapan untuk disediakan di sana kelak.

Saya tidak akan begitu emosi jika kita masih bertolak ansur dengan perihal kebejatan gejala sosial yang melanda muda mudi sekarang, saya masih mampu bertindak rasional jika ramai yang terus memandang sinis gerak kerja saya, tapi satu yang tidak boleh kita bertolak ansur mahupun dipertimbangkan bila Islam dan syariatnya ditentang dan dihina. Lebih menyakitkan apabila yang menghina itu adalah mereka yang menggelar diri mereka Muslim yang kononnya jauh lebih rasional berbanding para ulama' terdahulu dan hanya mereka yang memahami erti sebenar Islam moden. Ada yang mengatakan adalah tidak adil bagi mereka kerana tidak diberikan peluang berhujah bila terus-terusan menghukum mereka dan mengatakan mereka ini sesat. Tidak kurang juga yang bersimpati dengan golongan ini bila suara 'penindasan' terhadap mereka dilaung-laungkan menjadi isu hangat demi menarik perhatian orang lain.

Tetapi adilkah mereka kerana dengan sewenang-wenangnya menghina Islam dan secara tidak langsung menghina Allah? Adilkah mereka bila meminta untuk menghapuskan hukum syariah di sebuah 'negara Islam'? Adilkah mereka bila terus-terusan berkomplot dengan musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan Islam sendiri? Dan adilkah mereka bila mereka menilai Islam dari sudut logikal sahaja dan mengatakan ajaran Islam yang sedia ada tidak praktikal lagi untuk diasimilasikan pada zaman sekarang?

Entah berapa ribu orang lagi yang akan disesatkan oleh golongan ini untuk menunggu mereka diadili.

Buka matamu wahai para mahasiswa. Kita telah mendapat lesen besar daripada DIA, maka untuk apa ditakutkan lagi dengan undang-undang yang kita reka sendiri. Kaki dan tangan yang dirantai oleh akta bukanlah satu alasan untuk terus menjadi lesu kerana itu hanyalah permainan psikologi birokrasi untuk menakut-nakutkan kita. Jika kita yakin Allah bersama kita, tiada apa yang perlu dirisaukan. Percaya pada janji-janji DIA.

Mahasiswa tidak lesu. Buktikan. Mahasiswa penggerak masyarakat. Buktikan. Mahasiswa merubah hala tuju negara. Buktikan. Mahasiswa itu ghuraba'-intelektualisme dan aktivisme. Ayuh buktikan!

"Untuk Merubah Masyarakat, Kita Perlu Turun Bersama-sama Masyarakat" - nantikan...












2 dah komen wuu~:

attiq said...

wow !!

subhanallah

Alhamdulillah

AllahuAkbar

Lailahaillallah.

Muna 'Izzah Md Isa on 8:06 PM said...

:)
walaupun tak paham kenapa saudari bereaksi bergitu,,

Allahuakbar

 

A.L-'I.Z.Z.A.H Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template In collaboration with fifa
and web hosting