بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan
The Secret of Heaven. Satu kompilasi tulisan Pak Herry Nurdi, seorang penulis yang membuatkan kata-kata memiliki bara. Menyengat. Membaca karya beliau buat pertama kali sewaktu menghadiri liqa' JUNDIYY tahun lepas, bertajuk "Sin Of Inaction" membuatkan saya benar-benar tertarik untuk mengenali beliau. Tulisannya sangat hidup, serasa mengalir dalam darah terus masuk ke dalam hati dan membakar semangat yang kian semarak. Pertemuan dengan beliau buat pertama kali di Pulau Pinang sewaktu beliau hadir ke sini, melahirkan detik di hati bahawa Pak Herry ini benar-benar manusia luar biasa. Manusia biasa mana yang sudah menghabiskan buku sebanyak puluhan ribu pada usia belum mencecah 40 tahun? Manusia biasa mana yang dengan sewenangnya menjamu pemuda berimej skinhead, punk yang tak dikenalinya di kediamannya?
Bicaranya lembut namun penuh hikmah. Kebetulan Pak Herry merupakan kenalan rapat dengan keluarga Cikgu Azmi (TERAS), membuatkan beliau sering berkunjung ke Malaysia. Jadi apabila melihat di dinding facebook Pak Herry sendiri, mengiklankan buku terbaru beliau - The Secret Of Heaven - membuatkan saya benar-benar dying for the book. Puas mencari di laman online, namun stok buku tersebut masih belum sampai di Malaysia. Dan satu hari, Allah benar-benar membantu saya dalam usaha mendapatkan buku ini, tergerak hati untuk menghantar mesej kepada seseorang yang hanya saya kenal di facebook, Kak Elin yang pergi berjaulah bersama Kak Atriza ke Indonesia untuk menghadiri Islamic Book Fair di Jakarta. Alhamdulillah Kak Elin tidak punya masalah untuk membeli buku tersebut. Sudahnya, dikirim pula buku itu tanpa sebarang bayaran, paling istimewa siap berautograf dan kata-kata semangat daripada Pak Herry. Masya Allah. Jazakillah kak :))
"Siapa bilang masuk surga itu gampang?
Surga meminta tebusan yang sangat mahal.
Kesadaran yang Tinggi Amal yang Besar.
Keberanian yang tak kenal gentar.
Dan lebih dari segalanya, surga meminta ketakutan dan cinta kita pada Tuhan Semesta Alam."
Sehingga detik ini, hampir 3/4 buku ini berjaya saya habiskan sepanjang tempoh perjalanan saya dari KL-Butterworth. Dan dalam 3/4 itu, jiwa saya terasa segar semula. Semangat yang ada terasa diperbaharui apabila kebanyakan isinya membuka mata hati saya yang selama ini memandang satu-satu hal dalam hanya satu pandangan sahaja. Paradigma yang teranjak :)
Antara bab yang menarik adalah Nothing Personal! - Apa yang terjadi dan kita alami hari ini, sesungguhnya adalah hasil daripada rentetan keputusan dan peristiwa yang terjadi pada masa sebelumnya. Ketika kita hari ini mengalami kemalangan, hal itu tidak serta merta terjadi pada hari yang sama.
Pernah tak kita benar-benar berfikir akan kejadian alam ini? Anda tanya pada diri anda, siapa anda sekarang, dan apa yang membuat anda begini sekarang? Memetik kata-kata Ustaz Fauwaz tempoh hari, "cita-cita sekarang adalah hakikat masa depan, hakikat sekarang adalah cita-cita kita masa lampau". Ternyata benar, setiap apa yang berlaku punya kaitan antara satu sama lain.
Apa yang terjadi dan kita alami hari ini, sesungguhnya adalah hasil daripada rentetan keputusan dan peristiwa yang terjadi pada masa sebelumnya. Ketika kita hari ini mengalami kemalangan, hal itu tidak serta merta terjadi pada hari yang sama. Ada peristiwa yang menjadi preambule yang sangat signifikan pengaruhnya.
Kadang-kadang mata dan hati kita dibutakan dengan kata-kata "ini kecil saja, tak apa lah", "tak apa kalau aku sorang buat, tak effect apa2". Harus sebenarnya kita ingat bahawa setiap "perkara kecil" yang kita lakukan itu akan memberi kesan dan impak yang kadang-kadang bukan sedikit kepada orang lain.
Misalnya dalam pemilihan pemimpin dalam kampus. Setiap daripada yang bergelar pelajar itu, mempunyai suara yang sama selama ia bermain secara adil. Jangan dianggap bahawa satu undian anda tidak membawa sebarang makna lantas dilakukannya secara tidak serius. Satu undi itu masih dikira. Dan jika keputusan kelak tidak berpihak pada yang dicanangkan, mahu ditudingkan jari pada siapa? Lihat betapa sebenarnya setiap tindakan itu tiada yang bersifat personal, tanpa punya sebarang kaitan dengan yang lain.
Sama situasinya apabila mereka yang bergelar pemimpin itu membuat keputusan. Lebih malang jika kita yang ternyata menjadi penyebab. Mungkin pada awalnya, itu hanyalah keputusan personal seorang pemimpin, memilih jalan pintas demi mengaut keuntungan KRONI. Tanpa dia sedari, keputusan PERSONAL nya itu memberi impak yang besar kepada komunal yang sangat besar. Ribuan manusia kehilangan tempat tinggal. Mereka dihalau dari petempatan yang mereka sendiri usahakan. Hidup di setinggan dalam kawasan yang pesat membangun.
Oh! Rupanya kita punya saham dalam kesusahan mereka. Iya. Jika pemimpin itu yang membuat keputusan sebegitu, maka siapa pula yang membuat keputusan memilih pemimpin tersebut? Aduh. Siapa?
Alangkah malangnya mereka yang bertanggungjawab atas peristiwa-peristiwa besar yang menjadi penyebab kesengsaraan masyarakat. Alangkah malangnya mereka yang berbahagia tanpa sedikit pun terfikir perihal mereka yang kesusahan akibatnya. Mungkin hari ini mereka bisa melakukan pembohongan demi pembohongan di hadapan manusia. Tapi kelak mereka akan berdiri dengan lutut gementar serta merta di hadapan Sang Pencipta alam.
Jadi, dalam membuat sebarang keputusan, seharusnya kita berfikir sedalam-dalamnya akan kesan dan akibat yang akan ditanggung, jika bukan diri kita tetapi oleh orang lain. Kerana tiada sebarang tindakan bersifat personal, seluruh daripada kita mempunyai ikatan. Wallahualam.
0 dah komen wuu~:
Post a Comment