بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan
Lokman membuntangkan matanya. Dia mengesat darah yang menitis di bibirnya akibat terkena tumbukan padu daripada Leman. Kurang ajar punya Leman. Dah la masuk bilik tak bagi salam. Sebaik sahaja Lokman membuka pintu, tidak semena-mena mukanya menjadi sasaran tepat buku lima Leman.
"Kau kenapa?" Lokman cuba mengawal kemarahannya. Mail yang turut berada dalam bilik tersebut tercengang kehairanan melihat tindakan Leman.
Leman menyinsing lengan bajunya. Tanda bersedia untuk memberi tumbukan kali kedua.
"Kenapa kau tukar kelas?" Mata Leman merah seperti singa yang ingin menerkam mangsanya.
Lokman terdiam. Tak mungkin hanya kerana dia menukar kelas daripada kelas silat ke kelas taekwando menjadi satu isu besar. Lagi-lagi kepada Leman yang dia sangkakan tidak akan kisah.
"Kenapa hah? Baik kau cakap!"
"Tenang Leman. Tenang. Aku ingatkan kau dah tahu." Perlahan Lokman menutur bicara.
"Ah. Kau memang pengkhianat. Aku ingatkan kita dah janji tak akan keluar dari silat sampai bila-bila"
"Leman...Aku bukan.."
"Sudahlah kau!"
"Leman.. Aku rasa kita kena bawa berbincang dulu hal ni. Tak elok macam ni depan orang lain. Kita tak nak datangkan fitnah pada agama." Lokman cuba menarik tangan Leman untuk keluar daripada bilik. Leman yang semakin tenang sekadar menurut.
"Cuba kau cerita pada aku kenapa kau keluar dari silat? Apa kau tak rasa rugi ke?"
Lokman menarik nafas panjang. Dia tahu hari ini akan tiba jua. Namun tak disangkanya akan dimulakan dengan satu tumbukan ke mukanya!
"Begini Leman. Aku bukan tak sayang silat tu. Dah setahun kita bersama. Susah senang lapar kenyang semua kita tanggung sama-sama. Silat banyak ajar aku erti ukhuwwah. Ukhuwwah yang tak boleh dijual beli di mana-mana."
"Jadi, kenapa kau sanggup buat begini?"
"Cuma dalam silat aku tak dapat apa yang aku mahu. SPIRIT itu. Aku rasa diri aku terlalu selesa dalam persatuan tu. SELESA sehinggakan aku lupa tujuan sebenar aku join silat. Aku join awalnya untuk belajar seni pertahankan diri, namun setelah beberapa lama aku rasakan niat aku semakin tersasar jauh. Aku nak keluar dari ZON SELESA tu"
"Tapi kenapa mesti taekwando? Kau tahu kan taekwando tu baru sangat ditubuhkan di kampus kita. Mentah lagi. Program pun hanya berkisar dalam kampus je. Kau sendiri dulu kata otak tak berkembang kalau tak keluar."
Lokman senyum lagi.
"Ya, aku akui dulu aku rasakan otak aku tak berkembang dengan hanya terperuk di kampus tanpa join aktiviti di luar. Itu salah satu sebab kenapa aku join silat juga. TAPI. Aku rasa di situ silap kita. Kenapa kita perlu jadi pentingkan diri sendiri dan tamak dengan hanya memikirkan perihal diri kita tanpa memikirkan keadaan kawan-kawan kita di kampus? Ya, memang sangat banyak pengalaman kita dapat bila join aktiviti di luar. Aku tak nafikan. Aku sendiri memang sukakan cabaran. CUMA apa yang aku nampak bila kita terlalu sibuk dengan aktiviti persatuan kita di luar, kawan-kawan kita yang kat dalam ni TERABAI. Kita kena ingat, FITRAH manusia tu nak kan kebaikan. Menjadikan setiap orang ada POTENSI. Kalau bukan kita yang kononnya aktif sangat di luar tu untuk gilap potensi tu, siapa lagi? Takkan kita nak TINGGALKAN kawan-kawan kita terkapai-kapai kat sini? I WILL LEAVE NO MEN BEHIND"
Leman mengerutkan dahinya seakan-akan tidak berpuas hati dengan penjelasan Lokman.
"Tapi Lokman mana boleh kita suapkan selalu. Mereka kena CARI sendiri juga. Kalau kita suapkan je, buat program tu, buat program ni dalam kampus ni, semata-mata untuk diorang, kita ni macam mana? Tak kan nak harapkan apa yang kat dalam ni je. Nonsense!"
"Leman. Leman. Kau lupa ya konsep dakwah sambil islah. Aku bangga dengan persatuan kita tu, bukan sekadar persatuan seni mempertahankan diri, malahan juga aktif dalam gerakan dakwah. Itu satu perkara yang menggembirakan, kesuburan gerakan dakwah sewaktu masyarakat ketandusan idea mengenai ISLAM yang SYUMUL. Masyarakat sekarang nampak Islam ni hanya pada benda-benda tertentu, dan pemikiran mereka mengehadkan bahawa Islam itu hanya terletak pada hubungan antara makhluk dan Tuhan sahaja. Apabila menyentuh berkenaan perkara lain, Islam jadi asing seolah-olah Islam tidak meliputi aspek kehidupan yang lain. Dan sememangnya aku setuju bila ada yang mengatakan umat Islam sekarang sudah pegang lampu suluh tapi masih teraba-raba mencari jalan. Kenapa hal ni berlaku? Sebab mereka tak picit lampu suluh tu. Allah dah sampaikan semuanya melalui AL QURAN tapi apa yang berlaku sekarang, Al Quran dipandang sepi, sekadar jadi hiasan di rak-rak buku. Di situ peranan setiap daripada kita yang sedar untuk terus mengajak yang lain kembali dalam sinar Islam itu."
Penjelasan Lokman membuatkan Leman termenung sejenak. Hatinya masih dihimpit seribu satu persoalan.
"Leman. Aku tak halang kau untuk teruskan perjuangan kau dalam persatuan tu. Itu hak kau. Dan aku juga mahu tuntut hak aku untuk berjuang dalam jalan yang aku pilih. Kita mungkin berada dalam landasan yang berbeza, tapi apa yang pasti adalah matlamat kita tetap sama. Aqidah masih menjadi teras kita. Dan IMAN masih menjadi masdar ukhuwwah kita. Walau kita terasing dalam haluan yang berbeza, aku yakin dengan IMAN, segala-galanya akan terhubung. Dengan IMAN, ukhuwwah kita seharusnya lebih kukuh kerana ukhuwwah orang yang beriman insya Allah sentiasa dalam redha Allah. Satu perkara paling penting dalam ukhuwwah adalah BERLAPANG DADA. Dan itu adalah serendah-rendah ukhuwwah. Aku tak nak hanya sebab jalan kita yang berbeza, kau dan aku menjadi seteru. Kita seharusnya berganding bahu, sama-sama bekerja untuk ISLAM."
Lokman menghela nafas lega seolah-olah batu yang dihempap di atas kepalanya telah dibuang jauh. Dia menanti reaksi Leman yang kelihatan lebih tenang berbanding sebelum ini.
"Lagi satu Leman, kau jangan salah sangka dengan apa yang aku kata awal tadi. Aku bukan maksudkan kegiatan kau yang aktif di luar itu salah, dan aku yang cuba bergiat di dalam kampus ini betul. Bukan. Aku tak maksudkan begitu. Kita sama-sama punya fokus sendiri. Fokus aku sekarang adalah lebih kepada menghidupkan bi'ah di dalam kampus ini. Aku rasa bersalah kerana telah banyak mengabaikan tanggungjawab aku di sini. Melalui persatuan yang aku baru join ni, aku harap boleh jadi wasilahnya. Kalau ini sahaja yang aku mampu buat untuk Islam, Leman."
"Hurm. Aku rasa aku dah dapat apa yang kau cuba sampaikan. Maafkan aku Lokman sebab bertindak melulu tadi. Entah kenapa emosional pulak tadi. Insya Allah kita sama-sama bekerja untuk ISLAM. Betul kata kau, kalau kita bertelagah macam ni, sampai bila Islam nak MENANG. Kita memang kena bersatu. Jalan yang berbeza bukan alasan untuk terus bertekak. Jangan risau sahabat. Aku sentiasa bersama kau."
"Alhamdulillah. Aku bersyukur Allah turunkan ujian ukhuwwah ini. Aku risau andai ukhuwwah kita tak diredhai Allah, apa sahaja yang kita buat turut tak diredhai Nya. Inilah ujian ukhuwwah. Allah mahu uji apa benarkah kita berukhuwwah atas sebab keIMANan atau sebab lain. Insya Allah semuanya berlandaskan IMAN. Uhibbukafillah." Lokman lantas memeluk erat sahabat seperjuangannya itu. Mereka berbalas pelukan. Air mata kelegaan mengalir deras di pipi Lokman. Tanggungjawabnya terlaksana sudah.
Petang itu matahari yang memancar menjadi saksi keutuhan ukhuwwah dua sahabat yang disatukan dengan AQIDAH yang satu, bertunjangkan keIMANan pada DIA yang ESA. Dan matahari itu akan terus bersinar.
.................................................................
*Cerpen ini tidak berniat untuk ditujukan kepada sesiapa sama ada yang masih hidup atau yang sudah baligh.
*PERSATUAN-PERSATUAN yang disebutkan dalam cerpen ini tidak berkaitan dengan PERSATUAN yang ada di kampus penulis. HARAP MAKLUM.
*Semoga mendapat sesuatu. AMIN..