Tuesday, June 22, 2010

The Rejuvenation is now in Youtube.


سم الله الرحمن الرحيم 
Salam Perjuangan

Khas buat teman-teman.


By request. 
The Rejuvenation by Al Ghazali Generation. 
Was shown on Rejuvenation Night by BKS Al Ghazali (5th of February 2010)

*Semoga Allah meredhai jalan perjuangan kita.Amin*






Monday, June 21, 2010

Ukhuwwah Fillah : Tiada persempadanan


بسم الله الرحمن الرحيم 

Salam Perjuangan

Kali ni saya mahu menulis secara random. Apa yang terlintas di kepala saya, orang kata tak elok simpan jadi perkasam. Tak semua orang pandai makan.




Ukhuwwah. Jangan ditanya mengapa perkara ini saya ingin ketengahkan kali ini.

Kata orang ukhuwwah itu indah. Kata orang juga, orang beriman itu diikat sesama sendiri atas tali ukhuwwah. Kata orang lagi, ukhuwwah itu dibina atas dasar keimanan kepada Allah. Ok itu kata-kata Hilal Asyraf dalam Sinergi. 

Tapi sejauh mana ukhuwwah itu benar-benar terjalin atas dasar keimanan yang membuahkan keindahan? Apakah keindahan ukhuwwah itu hanya tertampak apabila mengecap saat-saat manis bersama? Apakah yang dikatakan manis itu hanya apabila sekumpulan rakan bersatu untuk melakukan sesuatu? Apakah ukhuwwah itu hanya terbukti pada waktu-waktu tertentu?

Saya teruja bila ada yang melafazkan kata-kata "ukhuwwah fillah", "uhibbukifillah", "fi amanillah". Saya cukup teruja, kerana bagi saya lafaz ini bukan lafaz biasa, malahan cukup 'power'. Kenapa? kerana lafaz ini menjadi saksi kepada perjanjian kita di hadapan Dia bahawa kita bersahabat dan berkawan itu hanya kerana Allah. Dan bukankah bahawasanya 2 orang yang menyayangi antara satu sama lain kerana Allah itu adalah antara 7 golongan yang dijanjikan syafaat kepadanya kelak. Mudah-mudahan. Amin.

Melafazkan dan berjanji itu dua perkara yang berbeza walaupun pada dasarnya nampak sama. Perbuatan melafazkan itu tidak lebih daripada sekadar mengucapkan tanpa niat untuk menunaikannya manakala apabila disebut berjanji, kata-kata yang terlafaz itu perlu disempurnakan sebagai satu tanggungjawab. Tanggungjawab bererti sesuatu janji untuk dilunaskan. Maka, apabila kita melafazkan kalimah-kalimah bahawa kita melakukan sesuatu kerana Allah, tidakkah ia telah menjadi satu janji untuk kita lunaskan? Janji kita kepada Allah, janji kita kepada diri kita.

Janji untuk berukhuwwah kerana Allah menghadirkan satu rasa yang indah bagi dua sahabat yang benar-benar memaksudkannya. Keindahan yang bukan sekadar terzahir di hadapan mata, tetapi apabila dua hati disatukan dan diikat dengan satu aqidah, bertunjangkan keimanan, tiada apa yang lebih indah daripada itu. Janji ini akan teruji dengan dua situasi. Senang dan susah. 



Kata orang, teman ketawa mudah dicari, teman menangis sukar sekali ditemui. Ada benar madah ini. Namun apabila hati kita diikat dengan ukhuwwah kerana Allah, biar susah mahupun senang, teman itu tak perlu dicari, ia akan datang sendiri. Hebat bukan bila semuanya dilakukan kerana Allah. 

Juga harus diingat, dalam berukhuwwah, tidak akan pernah sunyi daripada ujian. Ujian ukhuwwah. Ya, sejauh mana Allah nak lihat hambaNya menunaikan janji-janji mereka. Ujian yang hadir dalam keadaan senang dan susah pastinya mendatangkan kesan yang berbeza. Ujian ketika senang, saya yakin ramai yang boleh lulus (Insya Allah). Namun bila menghadapi ujian dalam susah, di saat Allah benar-benar menguji tahap ukhuwwah kita, ditambah dengan prasangka-prasangka negatif hasil semaian syaitan, tak mustahil persahabatan yang terjalin sekian lama boleh musnah begitu sahaja. "Macam tak pernah berukhuwwah" kata seorang teman.




"Macam tak pernah berukhuwwah"

Sebab itulah, banyak kita lihat sekarang ada sahabat yang sanggup bercakaran kerana wanita, harta, pangkat dan macam-macam lagi. Bagaimana seorang yang dikatakan sahabat di kala senang dan susah, begitu mudah tewas kepada jarum-jarum syaitan, berprasangka negatif kepada temannya, sanggup menuduh teman sendiri sehingga menimbulkan fitnah! Iya, seolah-olah tak pernah berukhuwwah. Walhal ketika itu, musuh utama kita, syaitan sedang bersorak atas kemenangan mereka memecahbelahkan umat Islam. Nauzubillahminzalik.

Maka, untuk itu, ingatlah kita kepada kisah seorang sahabat Rasulullah bernama Abu Jahim bin Huzaifah ketika perang Yarmouk, cuba memberikan air kepada sahabat-sahabatnya semasa peperangan tersebut.nak beri kepada sahabat yang pertama,tapi sahabat itu suruh pegi dulu pada sahabat lain.nak beri kepada sahabat yang kedua,sahabat kedua ni pun sama gak macam sahabat pertama.suruh pegi kepada sahabat lain yang lebih memerlukan.kemudian,bila beliau nak beri air kepada sahabat yang ketiga,sahabat tersebut dah pun syahid.maka,beliau pun patah balik kepada sahabat kedua,sahabat tu pun dah syahid. Begitu juga dengan sahabat yang pertama. Masya Allah. Begitu hebat ukhuwwah antara para sahabat dahulu. Di saat genting, ketika nyawa di hujung nafas, masih mendahulukan sahabatnya yang lain. Kita? Semoga Allah mencampakkan walau sedikit sisa ukhuwwah para sahabat ke dalam jiwa-jiwa kami.

Juga ingatlah bahawa serendah-rendah ukhuwwah adalah bersangka baik terhadap sahabatnya. Manakala setinggi-tinggi ukhuwwah pula adalah ithar, ya'ni melebihkan sahabatnya daripada kepentingan dirinya sendiri. Andai bersangka baik dan berlapang dada itu sukar untuk kita tunaikan, ayuh muhasabah kembali akan janji-janji kita yang berukhuwwah kerana Allah. Semoga Allah meredhai ukhuwwah kita semua. Wallahualam. 

[BTW, 'Auni dah dapat niqab yang mak pesan daripada anak muridnya yang baru pulang dari umrah. Doakan beliau istiqamah. Semoga dalam redha Nya. Amin]









Thursday, June 17, 2010

Terasing atau Mengasing?


سم الله الرحمن الرحيم 
Salam Perjuangan


Bumi ku tongkat dengan selautan langit di hadapan. Hanya Allah mengerti.


Melihat papan tanda ke Ayer Keroh sekilas pandang membuat bibir ini menggaris senyum. Entah tawar entah manis, dalam terkulat-kulat Subuh itu tak dapat dikenalpasti. Sakit di bahagian belakang masih berbaki akibat perjalanan 10 jam di dalam bas. Luar biasa sakitnya. Sejak sering menjadi perantau ini, purata pinggang dan kaki diserang sakit agak tinggi. Silap hari bulan belum mencecah usia 40 dah terbongkok-bongkok! Aduh..

Jarum jam tepat menunjukkan 6.30 pagi. Mp3 dimatikan. Sempat lagi Subuh ni, hati berkira-kira menunggu detik menjejakkan kaki ke tanah Melaka Sentral. Bunting dan banner SUKMA 2010 bersepah-sepah di bahu jalan menyambut mereka yang berkunjung ke negeri yang sedang agak pantas membangun ini. Wah, serentak dengan FIFA! Salah bajet masa gamaknya mereka ni.

ASING 

Setiap kali menjejakkan kaki ke Melaka iaitu kampung halaman saya sendiri, wujud satu perasaan asing dalam diri saya. Satu rasa yang enaknya tidak seberapa, pahitnya juga tidak terasa. Hanya asing dan aneh. Bukan sekali dua rasa itu menyapa, namun setiap kali ingin meneruskan rutin kehidupan di negeri ini, terus sahaja rasa itu menjelma. 

Mulanya saya sangka mungkin kerana rutin yang berubah. Yalah, di kampus awal pagi sudah tercongok menunggu giliran di tandas, kemudian rutin belajar seperti yang diatur di jadual. Malamnya ke surau, andai ada assignment atau video yang perlu disiapkan, rutin tidur mungkin dianjak menjadi lewat sikit. 2 minggu sekali setiap Sabtu ke Bertam, andai tidak ke Bertam, pasti berprogram. Kalau tak berprogram pun, pasti ada sahaja tugas yang perlu diselesaikan. Rehat itu hanya apabila tiba waktu tidur.

Di rumah rutinnya berubah 540 darjah. Tidak ada kelas, tidak ada pengajian tiap-tiap malam. Kalau ada pun harus pergi bersama abah. Kalau abah sibuk macam sekarang, termangu-mangu la saya dalam bilik bertemankan buku.Cuma malam Jumaat terasa sedikit terisi dengan majlis zikir. Hujung minggu lagi penuh dengan buntu! Andai tidak perlu berkhidmat menjadi driver, boleh juga ke BQ mendengar barang sedikit titip-titip pesan Ustaz Zul. Ada juga beberapa program bersama Anak-anak Melaka, tapi rezeki untuk sertainya belum Allah buka kepada saya. 

Terfikir saya sendirian. Inikah kerehatan yang saya dambakan? 

Andai di kampus kerap terlepas keluhan di mulut, mencari-cari waktu rehat. Namun bila tiba masa senggang begini, hati saya resah. Bukan rehat ini yang saya dambakan. Ya, bukan. Ini juga bukan jawapan kepada kehadiran rasa asing itu.

Rasa asing itu kian mengasak asak meminta mencari jawapan.Mundar-mandir tak tahu ke mana hala.  Arh, kenapa tiada Tasik Mengkuang atau Pantai Cahaya Bulan di sini? 


Kenapa saya rasa begitu asing di tempat sendiri? Saya kah yang asing atau tempat ini yang asing? Atau tiada siapa yang asing cuma rasa ini yang asing?

Hingga kini saya belum ketemu jawapannya, mungkin perlukan lebih uzlah hati. 







Wednesday, June 16, 2010

Apakah kita sudah benar-benar menunaikan janji-janji kita?


بسم الله الرحمن الرحيم 
Salam Perjuangan


"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukannya!"

Bacaannya terhenti. Suaranya yang tinggi mula mendatar. Dia cuba lagi menyambung bacaannya.



"Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."



Air matanya jatuh di pipi. Setitik. Dua titik. Dan kian laju. Membaca tafsir dua potongan ayat ini cukup menggerunkan hatinya. Dadanya sesak. Dia menghentikan bacaannya, menutup mashaf Al quran di tangan dan diletakkan di atas meja. Sesak di dadanya kian berat bila memikirkan kembali amaran keras Allah dalam dua potongan ayat dalam surah as Soff tersebut. 

Jauh sudah rasanya dia melangkah, namun hakikatnya jalan yang dipilihnya ini masih lagi jauh. Jauh dan pahit. Namun tetap dalam hatinya dia yakin, biar pahit dan sakit di dunia, kerehatan yang abadi di sana yang diimpikannya. Namun bila tafsir ayat ke 2 dan ke 3 surah as Soff ditadabburnya dalam-dalam, terasa seakan-akan satu bebanan besar sedang ditanggungnya di atas bahu. Besar dan berat. 


Satu persoalan yang sering bermain di mindanya.

Apakah dia benar-benar sudah menunaikan janji-janji yang ditaburinya?

Allah.. Ampunkan dosa-dosa kami yang sering menunaikan janji-janji tanpa menunaikannya ya Allah. 
...........



Tuesday, June 01, 2010

GESAAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN LL4G KE GAZA


بسم الله الرحمن الرحيم 
Salam Perjuangan 





KENYATAAN MEDIA Isnin 31hb Mei 2010 
GESAAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN LL4G KE GAZA 
Perkembangan terkini flotilla Lifeline4Gaza; 

1. Sebagaimana yang dimaklumi 7 buah kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sedang belayar menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH). Maklumat terkini ialah kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan laut Israel. Akibat dari tindakan biadap ini 3 orang sukarelawan telah terkorban dan 30 lagi mengalami cedera parah. 

2. Seramai 12 orang sukarelawan bersama-sama petugas media daripada Malaysia turut menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ini. Mereka berada di atas kapal “Mavi Marmara”. Penyertaan mereka bersama konvoi ini adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan. 

3. Semua objektif dan pergerakan konvoi ini adalah berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang maritim lain yang berkaitan. Antara lain, Resolusi 1860 menyebut antara lain 
a) menyeru kepada penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk makanan, minyak dan kemudahan perubatan, 
b) menggalakkan usaha-usaha membuka laluan dan mekanisma lain bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang berterusan, 
c) menyeru semua negara untuk menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan dan ekonomi di Gaza, dan 
d) mengecam semua bentuk keganasan dan serangan terhadap masyarakat awam dan semua bentuk terorisma. 
Semua rakyat Malaysia yang terlibat di dalam konvoi ini berpegang teguh kepada peraturan dan undang-undang antarabangsa dan pekerti mulia sesuai dengan aspirasi negara Malaysia. 

4. Konvoi ini membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Tidak ada sebarang bentuk senjata dibawa bersama konvoi ini walaupun untuk tujuan mempertahankan diri. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa konvoi ini adalah benar-benar sebuah konvoi bantuan kemanusiaan yang akandisampaikan oleh sukarelawan- sukarelawan dari kalangan masyarakat awam. 

5. Berdasarkan kepada fakta-fakta ini jelas Israel secara biadap telah melanggar undang-undang antarabangsa. Apatah lagi serangan ini berlaku di perairan antarabangsa dan dilakukan ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata yang bertujuan aman. Tindakan Israel menginjak-injak prinsip kemanusiaan ini wajar mendapat kutukan dari seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan. 

6.  Kami dengan ini menyeru supaya kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Mohd Najid Tun Abd Razak dan juga Datin Seri Paduka Rosmah Mansor sebagai Penaung kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan biadap dan kejam regim Zionis Israel yang telah bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menyerang sebuah flotila kemananan yang bertujuan semata-mata untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang teraniaya dan dizalimi sekian lama. 

7.  Kami juga menyeru PBB supaya mengadakan persidangan tergempar untuk meluluskan resolusi bagi mengambil tindakan paling tegas ke atas Israel, termasuk mengheret pemimpin mereka ke muka pengadilan. 

8.  Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan bantahan dan kutukan paling keras ke atas Israel serta bersedia untuk menyokong apa-apa tindakan yang akan disusun seterusnya bagi menangani isu ini. 

9. Kami juga menyeru kepada semua pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuh an bukan kerajaan dan rakyat seluruhnya supaya bergabung tenaga menyatakan sokongan kepada misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mengenakan tekanan ke atas Israel yang telah menyerang flotila Gaza sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan sukarelawan. 

10.   Kami seterusnya menyeru agar semua peringkat masyarakat dapat meneruskan doa dan solat hajat di masjid, surau, jabatan kerajaan, atau mana-mana tempat lain yang sesuai bagi memohon agar Allah SWT menjayakan misi bantuan ini dan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada para sukarelawan. 


Zulkifli Mohd Nani
Pengerusi
Pasukan Pengurusan Krisis dan sokongan keluarga misi LL4G Malaysia



Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.
Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka.
Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.
Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya.
Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.





 

A.L-'I.Z.Z.A.H Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template In collaboration with fifa
and web hosting