Sunday, June 14, 2009

TIBA MASA GURU PELATIH KELUAR DARIPADA ZON SELESA. AYUH!


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan

Dewasa ini kebangkitan mahasiswa IPT dan persatuan-persatuan yang diwakili mereka mula menunjukkan belang masing-masing. Suara mereka mula bergema di sana sini, demonstrasi demi demonstrasi mula menjadi medan luahan hati dan pandangan mereka.

12 Ogos 2008 menyaksikan demonstrasi besar besaran yang dilakukan oleh pelajar-pelajar UiTM daripada seluruh negara yang mengadakan tunjuk perasaan sambil berarak sejauh 3km ke Bangunan SUK, Selangor, semata-mata untuk membantah kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tentang isu kuota 10 % bukan melayu di UiTM.

Pada tarikh yang sama juga, sekumpulan pelajar Kolej Masterskill juga membuat demontrasi berkaitan isu Pinjaman Tabung Pendidkan Tinggi Negara (PTPTN) di perkarangan Kolej mereka.

Diikuti dengan peristiwa 17 Oktober atau Ten Seventeen yang mana menjadi sejarah dalam gerakan mahasiswa apabila buat julung kalinya mahasiswa dapat menyerahkan memorandum secara by hand kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin dan melakukan demontrasi di hadapan Dewan Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia selama satu jam yang dikhususkan kepada bantahan terhadap sikap diam menteri terbabit.






Ini merupakan salah satu siri-siri demontrasi yang dilakukan oleh mahasiswa sepanjang tahun 2008, yang sebelum ini demontrasi dianggap perkara asing selepas dekad awal 90an. Jika masih ingat, antara demonstrasi terakhir daripada mahasiswa adalah pada 2006 yang lalu iaitu demonstrasi membantah kezaliman zionis di kedutaan Amerika dan demonstrasi Baling iaitu kira-kira pada 24 tahun yang lalu di Kuala Lumpur.

Jelas dan nyata di sini membuktikan mahasiswa sekarang bukan lagi mahasiswa yang sekadar menjadi pak turut yang mengangguk jika setuju dan menggeleng jika membantah. Mahasiswa sekarang bukan lagi golongan mahasiswa yang dipandang lesu tidak bermaya, tiada idealisme. Pandangan masyarakat terhadap golongan mahasiswa sebagai golongan tiada idealisme ini telah berubah sama sekali apabila ada pihak yang menyelar tindakan sebuah parti politik yang bersifat angkuh apabila tidak mahu sama sekali 'mendengar' kritikan atau isu-isu yang diktengahkan oleh kaum muda dan mahasiswa. Biar apa kritikan sekalipun mahasiswa pada hari ini benar-benar menjadi golongan “Task Force” atau “Pressure group” kepada semua orang, daripada senarai parti politik hinggalah kepada orang perseorangan itu sendiri. Mahasiswa hari ini bebas mengkritik, menegur dan memberi cadangan kepada mana-mana pihak dalam memperjuangkan hak dan keadilan masyarakat umum di negara ini.

Terbaru, BERSIH dan DEMA (Student Democratic Movement) telah mengadakan satu bantahan yang digelar "1BlackMalaysia AfterDinnerCoffee" pada 11 Jun lalu yang lantang menyelar situasi politik di Malaysia. Menariknya penggabungan dan kerjasama antara mereka adalah bermula daripada Facebook, laman web sosial yang terkenal.

Namun satu yang masih menjadi persoalan saya hingga kini. Di mana mahasiswa daripada IPGM? Mana suara guru-guru pelatih? Apakah guru-guru pelatih ini pengecut?? Sekadar berapi-api di belakang, apabila diajak bersuara di hadapan, tak mahu! Dengan alasan kita orang kerajaan, tak boleh bersuara lebih-lebih. Pegangan apakah ini? Malaysia negara demokrasi bukan? Kita juga punya hak untuk bersuara bukan? Ini bukan persoalan yang saya ingin ajukan di sini tapi ia adalah hakikat namun realitinya adalah jauh berbeza. Memetik kata-kata Mujahid Page "apakah mulut-mulut guru pelatih ini terkunci atau dikunci?" Itu persoalannya.

Di Malaysia terdapat 28 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) atau dahulunya dikenali sebagai Maktab yang telah, sedang dan bakal melahirkan beribu ribu guru yang mana bidang tugasnya diketahui umum, mengajar, mendidik masyarakat. Apakah kita sekadar inginkan guru yang bakal lahir itu sekadar guru semata-mata? Guru yang kerjanya sekadar mengajar, atau guru yang sekadar- mengajar?

Pertukaran nama daripada maktab - institut - IPGM melihatkan antara usaha KPM untuk membuat anjakan paradigma kepada bakal-bakal guru ini yang antara hasrat KPM adalah untuk melahirkan insan guru yang profesional dan bersepadu. Saya tidak berminat untuk menyentuh lebih mendalam dalam peranan KPM merealisasikan impian mereka yang satu ini kerana bagi saya jika akar umbinya sendiri sudah pincang, untuk membetulkan ranting-ranting kecil adalah satu perkara sukar tetapi tidak mustahil untuk dilakukan.

Melahirkan Guru Yang Murabbi.

Guru yang Murabbi itu kerjanya bukan mengajar semata-mata tetapi mendidik dan mentarbiyah anak-anak muridnya dalam masa yang sama. Murabbi bukan satu perkataan asing untuk guru-guru pelatih yang dalam kelompok tarbiyah saya rasa kerana hal menjadi guru yang murabbi adalah perkara yang ditekankan dalam konteks tarbiyah guru pelatih. Namun bagaiman dengan kelompok yang satu lagi? Kelompok guru pelatih yang tidak mendapat tarbiyah apatah lagi untuk mempunyai fikrah. Kelompok ini saya kira sebagai golongan majoriti dalam satu satu IPGM itu dan suara kita jika bergabung adalah satu perkara yang menakjubkan. Saya bukanlah berniat untuk 'mengkelompokkan' guru-guru pelatih kerana nyatanya kita bernaung di bawah bumbung yang sama, namun ini adalah hakikatnya. Perpecahan dalam kalangan guru pelatih itu memang wujud dan isu ini jika tidak diketengahkan dan tidak diambil perhatian akan menjadi satu isu ibarat duri dalam daging yang menjadi pucuk kepada segala permasalahan perpaduan yang berlaku. Namun saya kagum dengan usaha kelompok beberapa perwakilan pelajar yang mengambil inisiatif sendiri untuk berdiri dan bersuara dengan menubuhkan ikatan-ikatan dan kesatuan yang melibatkan usahsama guru-guru pelatih daripada IPGM yang berbeza. Sudah lama medan perjuangan guru-guru pelatih IPGM ketandusan pergerakan yang betul-betul mantap yang boleh menggegarkan dewan parlimen mungkin.




Timbul lagi satu persoalan di benak fikiran. Mengapa pelajar IPGM tidak sebebas pelajar IPTA?

Saya menyeru kepada para guru pelatih sekalian usah sekadar berani di belakang, di alam maya, mari kita bersama-sama bangkit pertahankan hak kita di alam realiti. Ayuh bersama rakan lain perjuangkan bahasa kita yang semakin hilang yang bakal membunuh anak Melayu. Guru pelatih - anda kelompok paling PATUT bersuara dalam isu PPSMI kerana kita antara yang bakal menjadi mangsa dalam isu ini. Kenapa kita masih diam? Diam melihat kemusnahan demi kemusnahan yang bakal menimpa anak bangsa kita, kepincangan demi kepincangan dalam ummah. Jika kita bersatu hati, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kita berada di jalan yang benar.

Sudah sudahlah menikmati hidup muda yang takkan pernah puas yang sentiasa dahagakan hiburan. Suara anda diperlukan!! Tinggalkan segala macam game, hiburan-hiburan yang melalaikan - kita tak nak lahir guru yang turut menjadi mangsa hedonisme! Guru yang tidak mengetahui isu semasa, guru yang lari daripada kenyataan dan sentiasa hidup dalam angan-angan melayan perasaan sendiri. Kita nakkan guru yang profesional, yang lantang bersuara pertahankan hak anak bangsa, yang punya idea-idea bernas untuk dilontarkan demi menggerakkan masyarakat, guru yang bersama sama turun membanteras gejala sosial, guru yang MURABBI!

Ingat, suara anda diperlukan kerana dengan suara anda kita mungkin boleh mengubah dunia. Siapa tahu?



Rujukan.
-Mahasiswakini.
-GamisDaily
-Just A Note - Deafening Silent
-FikrahMahasiswa









0 dah komen wuu~:

 

A.L-'I.Z.Z.A.H Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template In collaboration with fifa
and web hosting