Wednesday, April 28, 2010

Qudwah qabla da'wah


بسم الله الرحمن الرحيم 
Salam Perjuangan




Qudwah qabla da'wah.

"Bukan kita tak cuba, tapi entah kenapa diorang still tak nak terima." Ahmad melepaskan keluhan panjang. Di matanya masih terbayang-bayang perlakuan adik junior yang ditemuinya sebentar tadi. Sebelum ini berulang kali dia mencuba merapati pasangan itu. Bermacam-macam cara dia cuba. Namun semakin dia dekati, semakin mereka membencinya. Peristiwa petang tadi benar-benar mencabar kesabarannya. Ikutkan hati, mahu sahaja dia jerkah kedua-kedua adik junior itu tadi. 

"Mungkin ada yang tak kena dengan cara kita. Kau benar-benar pasti dengan apa yang kau nampak tadi?" Zamri menyoal minta kepastian. Faham benar dia dengan perangai panas baran rakannya yang seorang ini.

Ahmad menggeleng-gelengkan kepala.
"Ya Allah, Zam. Dah namanya pun duduk dalam gelap. Berdua-dua. Habis, apa lagi yang mereka buat? Naik menyampah aku tengok budak berdua tu."

Zamri tersenyum. 
"Boleh aku tanya kau satu soalan? Apa yang kau bencikan sebenarnya? Mereka atau apa yang mereka buat?"

"Apa bezanya? Sama je. Kita kena benci kemungkaran dan pelakunya!"

Zamri menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum.

------------

Ramai orang tertanya-tanya mengapa seruan mereka ke arah kebaikan tidak dapat diterima sedangkan mereka menyeru dengan kesungguhan. 

Dalam kisah di atas, Ahmad misalnya sentiasa mencari peluang untuk mendekati adik juniornya yang dikatakan sedang sakan bercinta. Sehingga satu hari Ahmad terserempak dengan mereka sedang berkelakuan yang mencurigakan. Ahmad meluahkan rasa kesalnya kepada sahabatnya Zamri. Dia begitu marah dengan apa yang baru dilihatnya walau dia sendiri tidak dapat memastikan kesahihan kejadian itu. 

Dalam kes ini, Ahmad patut dipuji kerana tidak berputus asa mendekati dan cuba berbaik dengan adik juniornya. Namun, mengapa masih wujud jurang antara Ahmad dan junior itu yang memungkinkan dakwah Ahmad kepada mereka tidak sampai?

Jawapannya mudah. Kerana dirinya tidak mampu dijadikan contoh kepada apa yang diserunya.

Hatib bin Abi Balta'ah, seorang sahabat yang telah melakukan kesalahan kerana ingin memaklumkan rancangan Rasulullah s.a.w untuk menyerang Mekah dengan menghantar surat melalui seorang wanita tua. Surat berkenaan kemudiannya dipintas oleh sahabat-sahabat yang diutus oleh Rasulullah s.a.w. Pada ketika para sahabat yang lain amat marah, bahkan Umar r.a mahu memenggal kepalanya, Rasulullah s.a.w bertanya kepada beliau dengan lembut akan sebab dia melakukan sedemikian. Setelah mendengar akan kata-katanya, Rasulullah s.a.w lalu memaafkannya kerana sumbangannya sebagai Ahli Badr.

Allah kemudian menurunkan Surah Al Mumtahanah ayat 1 yang membawa maksud 

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil musuhKu dan musuhmu menjadi teman-teman yang setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita Muhammad) atas alasan rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu. Mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhan kamu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalanKu dan mencari keredhaanKu (janganlah kamu melakukan sedemikian). Kamu memberitahukan secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka, kerana kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan yang kamu nyatakan. Dan barangsiapa di antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus."

Jelas disebutkan dalam ayat tersebut bahawa Allah menyatakan secara tegas dan jelas, tanpa nada apologetik, bahawa ia adalah  satu perbuatan yang salah. Perbuatan Rasulullah s.a.w pula mengajar kita akan aspek layanan terhadap seorang yang telah melakukan kesalahan. Hakikat ini mengajar para pendakwah bahawa hukum satu perbuatan adalah perkara yang berbeza dengan layanan terhadap pelaku kesalahan. 

Medan dakwah bukan sekadar medan seruan yang dizahirkan dengan kata-kata. Medan ini merupakan medan penterjemahan kepada apa yang diseru dalam Al Quran melalui gaya hidup dan amalan bagi seseorang Muslim. Seorang Muslim yang menghayati kalimah syahadah yang dituturkannya saban hari dalam solat, mestilah mempercayai dengan hati, mengakui dengan lisan dan MENGAMALKAN dengan perbuatan atau anggota.

Rata-rata daripada Muslim sekarang termasuk diri penulis lupa akan pengertian mengimani dengan amalan atau perbuatan. Kalau kita kata kita Muslim, apakah kita benar-benar Muslim dari sudut akidah? Apakah kita benar-benar Muslim dari sudut ibadah? Apakah kita benar-benar Muslim dari sudut akhlak? Muhasabah kembali.

Seni Memikat

Menawan hati mad'u itu bukan suatu perkara yang boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Andai si da'ie mendekati mereka dengan kekerasan, mungkin masa yang diambil tidak lama tetapi harus diingat, bagaimana dengan kesannya? Apakah kesannya hanya bertahan pada jangka masa pendek atau boleh berkekalan dalam jangka masa yang panjang?

Jujur saya menulis berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri. Allah benar-benar ingin menguji saya dengan pelbagai ujian hidup. Satu ketika saya rebah, tidak bermaya. Ada tangan yang menghulur bantuan, namun bantuan itu datang dalam bentuk yang sungguh menyakitkan. Kekecewaan saya dengan hidup bertambah apabila tangan yang menghulur bantuan itu kembali menuding jari ke arah saya. Saya tahu saya silap, tapi bukan hukuman yang saya perlukan ketika itu. Saya perlukan bimbingan. Pernah saya nekad untuk membenci golongan ini. Golongan yang suka menghukum.

Hingga akhirnya Allah mencampakkan hidayah dan taufiq ke dalam hati ini. Saya tanamkan dalam hati, saya tak akan ulang kesilapan yang sama pernah dilakukan oleh golongan ini. Selemah-lemah iman adalah dengan membenci dalam hati. Membenci kemungkaran bukan bermaksud kita berhak menjatuhkan hukuman terhadap pelaku kemungkaran itu. 

Lain orang lain caranya. Perbezaan ini terbentuk melalui pengalaman hidup, gaya pemikiran dan tahap ilmu seseorang. Maka, pendekatan yang ingin digunakan seharusnya berbeza-beza juga, sesuai dengan situasi si mad'u. Di sini, peranan da'ie sangat besar dalam memahami mad'u nya. 

Mencari mad'u yang sudah punya asas kefahaman Islam mungkin merupakan jalan mudah untuk mendekati seseorang kerana bagi mereka ini, hati mereka agak mudah dibentuk jika kena caranya. Namun jika semua bertindak untuk mendekati mereka, bagaimana pula dengan golongan yang tidak mempunyai asas kefahaman mengenai Islam ataupun sekadar tahu tapi tidak mengerti? Siapa pula yang bertanggungjawab untuk mendekati mereka?

Setiap individu itu mempunyai potensi masing-masing. Fitrahnya telah Allah ciptakan manusia dengan mencampakkan jauh di sudut hati masing-masing berkehendakkan Islam. Walau bagaimana permulaan hidupnya, atau apa sahaja yang telah dilaluinya, walau sedikit sebenarnya hati mereka ini mengingini Islam sebagai penyelesaian. Mereka ini ibarat permata dalam lumpur. Perlu ada yang bertanggungjawab untuk menggilapnya agar kembali bersinar.

Menggilap permata itu juga perlukan skil. Skil ini bergantung kepada setebal mana lumpur yang terpalit pada permata itu. Tugasan ini terletak di bahu mereka yang faham dan sedar. Dan dalam menggilap permata itu, jangan pula kita sama terpalit lumpur tersebut. Seni ini ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut berjaya ditarik, tepung tidak berserakan. 

Namun sesungguhnya walau banyak mana kita usaha, kita lakukan, hidayah itu tetap hak milik mutlak Allah. Apa yang penting adalah usaha, bukan sekadar mengeji. Sekurang-kurangnya kuta punya jawapan untuk dijawab kelak.

Wallahualam.




1 dah komen wuu~:

attiq said...

"dirinya tidak mampu dijadikan contoh kepada apa yang diserunya"

...

Orang selalu terlupa, bahasa itu alat serta tampungan budaya dan pemikiran seseorang.

pikir kena yg baik2. br jd muslim sejati. org arab kata husnuzon. kan..


daie kena mantapkan ilmu. baca la bnyk2 buku komunikasi dlm berdakwah tuh..

kat Al-quran pun ada kata dlm an-nahl:125


p.s: buangkan belenggu anda ^^

Mereka ini ibarat permata dalam lumpur.bak kata penulis.wink2.

reminder for ME and u: Wahai org beriman! napa kata benda yg kamu x buat pon.itu sgtlah dibenci disisi Allah.

AllahuAkbar!

 

A.L-'I.Z.Z.A.H Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template In collaboration with fifa
and web hosting