بسم الله الرحمن الرحيم
Satu hari yang permai.
Lokasi : Bilik kuliah B302.
Masa : Tak dapat dikenalpasti.
Cuaca : Biasa-biasa. Tak ribut.
NYDP masuk ke kelas dengan lemah lembut seperti biasa walaupun biasanya bukan macam tu. Datang mendekati teman sebilik merangkap AJK BM 4 PISMP KS1 yang sedang melayan Zune dengan bersungguh-sungguh. Muka minta simpati.
"Weh. Ang busy tak minggu ni?"
"Besa ja. Awt?"
"Buat video? Untuk pelancaran kemerdekaan"
"Bila?"
"Isnin."
"...." (maksudnya diam. berfikir)
"Tema dia Penjajahan Minda"
".........." (diam lagi. tapi lebih lama)
"Camna?"
"Ok"
"Afif ada idea. Tapi aku dah cakap kalau ang terima, terima la. Kalau tak mau, tak mau la."
"Ok."
Bukan apa. Tak sampai hati tengok muka teman sebilik. Rasa macam nak lempang.
....
Kolaborasi kali ini saya mahu namakan "Anum & The Boys". Sebab The Boys low profile tak suka saya bubuh nama mereka di blog.Dan saya juga rindukan nama Anum. Last saya nampak nama Anum di kek hari jadi saya pemberian si tonyet. Maksudnya enam bulan lepas. Tak ke patut dirindui tu?
Kenapa "Penjajahan Minda?"
Kita skip part pembikinan video, pemilihan pelakon, dan segala proses editing. Bosan nak cerita. Saya nak bawa korang semua memahami isi penting dan mesej yang kami ingin bawa dalam iklan-iklan 2 minit dan tayangan multimedia dalam Majlis Sambutan Kemerdekaan Isnin lepas. Ya, hanya pelajar IPG Kampus Tuanku Bainun yang dapat menonton video-video itu. NAMUN, mesej yang terdapat dalam video-video terbabit tidak hanya terhad kepada pelajar di sini, malahan bersifat global serta holistik.
Video 1 : Budaya Kita Cara Kita
Saya sedikit kecewa dengan diri saya kerana telah melanggar kabel audio yang berwarna pink yang amat sensitif itu lantas menyebabkan audio semasa video ini ditayangkan menjadi tidak keruan. Umpama saya. Namun saya redha dan pasrah. Walaupun kebanyakan audien tidak memahami apa mesej yang Afif selaku tuan director cuba sampaikan. (Ceh terus kata afif punya bila dah rosak.haha)
Mesejnya mudah. Sekian lama kita katakan kita merdeka, walau pada hakikatnya merdeka yang dilaungkan itu hanya merdeka secara literal, secara fizikal. Namun dalamannya, inteleknya kita masih dikurung dan dijajah. Oleh siapa? Oleh diri kita sendiri. Setuju tak?
Dalam video ini, melihatkan seorang remaja (Ikhlas) yang sedang sibuk bermain CS, tiba-tiba rakannya menelefonnya untuk mengajaknya keluar. Dia lalu dengan segera bersiap-siap, berpakaian segak dan kemas. Namun sebaik sahaja bertemu rakan-rakannya, dia digelakkan oleh mereka kerana rupa-rupanya mereka mahu keluar berbuka puasa dan terus menunaikan solat terawih. Mereka yang lain lengkap berpakaian baju melayu, berkain pelikat sedangkan dia hanya memakai t shirt dan jeans.
Baik. Mungkin ada yang keliru, kerana ada yang bertanya saya, apa kaitannya ramadhan dengan merdeka? Nampak video ni macam nak tunjuk pasal puasa, tiba-tiba mesej last "Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan". Terima kasih untuk teguran tersebut. Ya, mungkin silap kami yang kurang teliti dengan skrip dan jalan cerita. (Ceh.Padahal tak ada skrip pun. Spontan je)
Penjajahan Minda melalui budaya.
Budaya mengikut definisi yang saya faham, merupakan satu perlakuan kebiasaan yang dilakukan setiap hari menjadi satu perkara yang sebati dalam kehidupan seharian. Bila disebut budaya, pasti perkataan seterusnya yang terlintas adalah adat dan Melayu. Betul tak? Secara individu saya melihat budaya ini sebagai satu lambang jati diri. Tidak kira siapa pun dia, bangsa apa pun dia, andai dia masih berpegang teguh dengan budaya yang diamalkannya seharian, melambangkan betapa kukuh jati diri dalam dirinya.
Setiap hari kita akan melakukan satu perbuatan yang sama, dan ia akan sentiasa diulang-ulang yang seterusnya menjadi budaya. Permasalahan yang berlaku kini adalah apabila perkara yang menjadi kebiasaan dan budaya kita itu jauh tersasar daripada matlamat hidup kita yang sebenar (Adz Dzariyat : 56). Apabila diulang-ulang dan terus diulang, kebiasaan itu sama ada ia betul atau salah, haq atau batil akan menjadi sebati dalam diri dan minda kita menjadikan kita tanpa sedar sedang semakin jauh tersasar daripada landasan yang sebenar.
Misalnya, seorang kanak-kanak yang sejak kecil ditakutkan dengan cerita-cerita hantu, tidak mustahil sehingga besar akan hidup dalam ketakutan terutama apabila berada di tempat gelap. Sedangkan dirinya sendiri tidak pernah melihat hantu yang disebut-sebutkan. Sama situasinya dengan muda-mudi sekarang, mindanya terus didoktrin, terus ditanam dengan hiburan-hiburan yang melalaikan, budaya hedonisme menjadi darah daging dalam hidup, Al Quran langsung terus dilupakan. Mengapa hal ini terjadi? Kerana itulah budaya kita sekarang. Kita menerima suapan-suapan daripada penjajah tanpa banyak bunyi. Menjadikannya cara hidup kita. Budaya kita. Lantas hilang jati diri yang seharusnya ada. Akhirnya, fizikal kita ya, kita merdeka. Nampak bebas umpama burung. Hakikatnya kita lemah. Kita akan terus lemah selagi kita membiarkan minda kita dijajah. Bagaimana untuk keluar dari penjajahan minda ini?
Tunggu entry seterusnya. Juga review 3 lagi video. :)