Thursday, February 24, 2011

Anak Muda Gila


بسم الله الرحمن الرحيم 
Salam Perjuangan

"PR Kampus sekarang dah macam PR Umum kan? Fuh."

"Itu tandanya STUDENT bukan BUDAK-BUDAK dah"

***

Tak mahu saya menyentuh gelombang PRK di ceruk IPTA bila saya bernafas di bumi IPG. Beza situasinya, umpama berbicara tentang strategi menawan Pluto bila kaki memijak Bumi. Titik persamaannya hanya pada nama.

Saya mengagumi sekali semangat dan titip perjuangan sahabat-sahabat di medan IPTA. Kata Buya HAMKA, "anak muda ini separuh daripada GILA". Ya, kalau anda anak muda, tahniah kerana mendapat gelaran si GILA.

Kenapa anak muda itu dikatakan GILA?

Kata Buya HAMKA lagi, kalau bukan kerana anak muda bernama Mus'ab bin 'Umair, atau anak muda bernama Zaid bin Harithah, atau si anak muda paling GILA bernama Muhammad bin Abdullah, apakah kita, umat Islam sekarang ini mampu berpijak di bumi dan melihat Islam itu tertegak di situ? Kalau bukan kerana KEGILAAN dalam jiwa anak muda bernama Muhamaad Al Fateh, mungkin Kota Konstantinople hanya akan tinggal sebagai satu daripada impian untuk ditakluk juga.

Namun, KEGILAAN si anak muda dahulu dan kini jauh berbeza umpama langit dan bumi. Walau langit itu tak pernah berubah warnanya, atau bumi itu tak pernah sekali berubah paksi putarannya, namun kandungan yang meliputi langit itu, atau tiang-tiang yang memasak perut bumi, sentiasa berubah-ubah. Kalau anak muda dalam lipatan sirah nabi dan kisah para sahabat dahulu, amat GILA dalam mempertaruh nyawa, diri, dan harta demi menjadi si syahid penghuni syurga, bermati-matian melindungi Rasulullah S.A.W, apa kurangnya juga anak muda sekarang. 

Suara anak muda bergelar mahasiswa, terutamanya menjadi satu penanda aras dalam mengukur sejauh mana tahap KEGILAAN dalam jiwa mereka. Himpunan di jalanan, laungan-laungan reformasi di alam maya, sahutan demi sahutan takbir bergema, antara tanda-tanda kecil KEGILAAN anak muda sekarang. KEGILAAN yang ditakuti banyak pihak.

Wahai anak muda yang GILA,
Sungguh, aku kagum dengan KEGILAAN kamu.
Hanya anak muda GILA yang sanggup ketepikan 
Segala caci maki hinaan umpatan kejian ugutan
Dan segala macam yang keluar
Dari jiwa mereka yang BACUL
PENAKUT
TAKUT untuk melihat kemenangan ISLAM
TAKUT dengan JANJI ALLAH
Biarlah kau si anak muda GILA dihina.
Setitik air mata kau, SYURGA Allah janjikan.
Asal ikhlas hanya satu niat di hati.
Semuanya kerana ALLAH.
Semoga kau terus menjadi si GILA, wahai anak muda.

***

Anak muda yang GILA mampu merubah dunia. Jadilah kita si GILA ini. GILA untuk menjadi penyambung warisan perjuangan Nabi dan para sahabat.

***

PRK IPG KTB dijadualkan akan berlangsung pada 28 Februari 2011. Untuk para calon, siap sediakan diri kalian dengan ilmu permainan siasah. Jangan kata politik itu kotor. Ia tak pernah kotor, tetapi manusia yang banyak mengotorinya. Sucikan niat di hati. Berhenti menjadi si budak hingusan, yang kerjanya mencari titik kesalahan saingan. Ibaratkan suara-suara ini umpama kemuncup dalam perjuangan. Kalau sibukkan sangat untuk mencabutnya di kaki seluar, akhirnya hanya akan memakan diri sendiri, bila matlamat yang dikejar menjadi terpesong. BE COOL. Kemuncup tak sakit mana pun. :)

Akhir kata ; Jangan bermain api dengan anak muda. Mereka GILA. 





 




Friday, February 04, 2011

Keliling Dunia


بسم الله الرحمن الرحيم 
Salam Perjuangan


1)MESIR, TUNISIA & YAMAN



Saya rasa sudah tiba masanya mereka yang berada di tampuk pimpinan panas punggung dengan fenomena kebangkitan rakyat yang melanda dunia sekarang. Mesej mereka mudah, "kamu tak adil, kamu zalim, jadi kamu harus turun, kami tak mahu kamu!"

Suara rakyat di Tunisia, Mesir dan yang terbaru Yaman merupakan wakil kepada suara orang awam, iaitu suara yang paling bawah dalam hierarki pemerintahan. Biar yang paling bawah tapi hakikatnya suara rakyat merupakan suara terbesar yang punya kuasa paling atas, dalam mendesak pemerintah. Lihat sahaja apa yang berjaya dilakukan rakyat Tunisia baru-baru ini. Hanya berbekalkan semangat juang yang tinggi, seorang penjual buah bertindak menjadi pencetus kepada kejatuhan rejim kuku besi Ben Ali selama 23 tahun memerintah. Aksi membakar diri Bouazizi menjentik semangat seluruh rakyat Tunisia yang selama ini menderita di bawah kepimpinan pemerintahan zalim Ben Ali.

Pemimpin dunia semakin membuka mata apabila revolusi kebangkitan rakyat menular ke Mesir apabila jutaan penduduk mesir di seluruh ceruk melakukan demonstrasi dan rusuhan mendesak Hosni Mubarak untuk turun daripada pemerintahan. Sehingga tarikh ini, dikhabarkan rusuhan rakyat tidak menunjukkan sebarang kemungkinan untuk berhenti dalam masa terdekat. Lebih-lebih lagi apabila Hosni Mubarak mengeluarkan kenyataan bahawa beliau hanya akan melepaskan jawatannya pada pilihanraya akan datang iaitu pada bulan September.

Isu keselamatan lebih 11,000 pelajar Malaysia di Mesir juga menjadi tumpuan media tempatan. Saya tertarik dengan satu pesanan yang disampaikan oleh Abang Nuar (Penulis Memoir Anak Setinggan) di Facebook nya;

"Anak2 muda Malaysia di Mesir, jangan engkau pulang ke Malaysia. Jadilah sebahagian dari sejarah. Bantulah saudaramu yang tertindas di Mesir. Sertailah mereka menjatuhkan penguasa zalim.
Tatkala seorang dictator hendak di jatuhkan. Anak muda tanpa mengira sempadan bangsa, kewarganegaraan, agama adalah wajib bersama-sama untuk melakar tinta sejarah membantu, menyokong bagi menggulingkan penzalim. 
Jadilah sebahagian dari sejarah, menegakkan keadilan dan menumpaskan kezaliman. Ilmu bukan sekadar apa yang dibaca di kitab-kitab tapi apa yang dilaksanakan dengan perbuatan.
“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu,& hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi.” Al-Qasas: 5"



Terasa bahang kebangkitan rakyat itu mengalir dalam diri. Bukan mudah sebenarnya bila berhadapan dengan dunia realiti sebenar. Jika sebelum ini kita hebat berhujah, berpidato, berdebat di hadapan khalayak, berbicara tentang perjuangan, berbicara tentang jihad fi sabilillah, berbicara tentang melawan musuh Islam, namun bila Allah campakkan situasi yang sebenar itu di hadapan kita, sejauh mana keberanian kita mendepani musuh yang sebenar? Sejauh mana kita mampu untuk membuktikan hujah dan kata-kata kita? Sejauh mana kita berani mengangkat senjata menentang musuh zalim? Lagi-lagi bila bukan di tempat kita, tapi nun jauh di tempat lain.

Semoga kita mengambil ibrah dan pengajaran daripada apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir. Tiba masanya untuk kita mengubah sejarah.

"Untuk renungan ; Jika Mesir jatuh ke tangan Ikhwanul Muslimin, sempadan Rafah mungkin akan dibuka untuk pejuang Islam seluruh dunia. Tak mustahil kurang setahun negara haram Israel akan menjadi sejarah. Perindu2 syurga Firdausi, anda sudah bersedia merebut tiket? Ayuh doakan IM berjaya jatuhkan Hosni Mubarak!"

2) SHARING IS CARING


  • Nabi terdahulu jika diuji kesihatan mereka, akan semakin bertambah ibadat mereka kepada Allah. Kita? Baru demam sikit dah lembik. Malu tak?
  • Ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang suka berfikir - Abdullah Ibn Abbas
  • Pi mana2, bawak Islam, semat dalam hati. Baru tak jadi sekular.


3) CADANGAN

Jangan malas membaca. Walaupun hanya sehelai surat khabar. Sentiasa pastikan diri anda up-to-date dengan isu semasa. Dalaman atau luaran.



Berhati-hati bila memandu. Lampu kuning bermaksud bersedia untuk berhenti. -___-'


INI MATLAMAT KAMI!
 

Tuesday, February 01, 2011

Barakallahufikum, adik-adikku!


بسم الله الرحمن الرحيم
 Salam Perjuangan

Mata dia ku tatap dalam-dalam. Bibirnya senyum nipis, gembira katanya. Tapi siapa tahu jauh di dalam hatinya betapa berat untuk dia ungkapkan rasa itu. Tergambar pedih itu di matanya. Sayu. Aduh, adikku!

Ku tarik nafas, otak ligat berfikir apa yang perlu aku tuturkan pada dia, biar jiwanya tenang, hilangkan resah dan sesak di dadanya itu.

"Auni ingat tak Auni janji apa kat kakak masa di KAS dulu?"

Tangannya memintal-mintal hujung niqab di tangannya. Matanya mula berair. Cepat-cepat dia menyeka, bibirnya senyum kembali. 

"Kakak jangan lah, nanti auni nangis.."

"Auni sekarang umur berapa?"

"13.."

"Muda lagi ke dah tua?"

"Muda.."

"Rugi tak kalau Auni mengalah sekarang rasanya?"

Diam.

"Auni, kakak dah 22, mak dah 50. Agak-agak kalau masa umur mak 13 tahun dulu dan mak mengalah, mak jadi tak macam mak sekarang? Kalau kakak masa umur 13 tahun dulu, kakak mengalah, kakak jadi tak macam sekarang?"

Dia senyap. 

"Auni janji dengan kakak dulu, Auni nak bagi syurga kat mak. Jalan untuk Auni bagi syurga kat mak tu bukan jalan yang senang, pahit, sebab apa? Sebab syurga tu manis!"

"Auni tak tahu lah, kak.."

"Tak apa, cuba dulu. Buat setakat yang mampu. Baca doa banyak-banyak. Insya Allah, Allah sentiasa bersama Auni.."

Sebelum pulang, sempat aku bacakannya doa penerang hati. Semoga redha Allah bersama mu, adikku!

----

Sewaktu di Kajang mengambil Along, mesej daripada mak yang singgah di telefon ku bermain-bermain di benak fikiran. 

"Bila nak sampai rumah? Harap cepat sikit. I just need u to talk to your youngest sister, inspired her and motivate her.."

Singgah di Seremban untuk mengambil Angah dan dalam perjalanan pulang entah angin apa melanda Angah dengan rela hati menawarkan untuk membelanja Domino's di Seremban. Cinnamon stick yang sangat sedap! Ok. Mungkin terlalu lapar. Terima kasih Angah!

Hujan lebat di luar. Pemanduan bertukar tangan daripada Along kepada Angah. Aku membuang pandang jauh ke luar. 

Kami 6 beradik. Along, Angah, Kakak, Widaad, Mus'ab dan 'Auni. Tiga daripada kami Alhamdulillah akan mengikut jejak langkah mak dan abah sebagai guru. UPSI, IPG KRM, dan IPG KTB menjadi medan perjuangan kami bertiga. Ironiknya kami bertiga juga dijadualkan akan menggenggam ijazah pada tahun yang sama iaitu 2012, Insya Allah. Manakala tiga lagi daripada kami iaitu Widaad, Mus'ab Umair dan 'Auni Farihah masing-masing sedang mengikuti pengajian di Maahad Tahfiz. Esok, Widaad akan mendaftar sebagai pelajar Diploma Tahfiz Al Quran wal Qiraat di Maahad Tahfiz Al Quran wal Qiraat Saidina Ali di Melaka. Batch pertama.

Keadaan adikku yang bongsu mengikut apa yang diceritakan mak agak merunsingkan. Mungkin terlalu tekanan, bila dia terlalu meletakkan aim yang tinggi. Kata mak, dia tak pernah bercerita. Cuma kadang-kadang dia tak bisa untuk menahan rasa itu di dadanya.

Aduh. Kasihan adikku. Berbeza dengan Mus'ab. Alhamdulillah, dia menunjukkan perkembangan yang positif. Bacaannya makin lancar. 

"Ateh, nanti dah jadi hafiz, bawak kakak pergi syurga sekali tau!"

"Iyelah.."

"Ingat, nama kakak Muna 'Izzah. Ada koma kat atas."

"Hah? Nanti Allah tanya macam tu ke?"

"......"

----

Ya Allah, ku mohon petunjuk dan hidayah daripada Mu, bimbinglah kami Ya Allah. Bimbinglah kami dalam meneruskan perjalanan yang masih panjang ini, Ya Allah. Terangkanlah hati adik-adik kami, Ya Allah. Permudahkanlah urusan mereka, Ya Allah Ya Rabbal Alamin. Limpahilah ketenangan kepada hati-hati mereka, pasakkanlah keyakinan dalam jiwa mereka, semoga dengan izin Mu, lahir mereka sebagai Mujahid Mujahidah pembela agama Mu, Ya Allah. Amin ya Rabbal Alamin..


Mus'ab Umair


'Auni Farihah



Semoga Allah meredhai kalian, adik-adikku!







 



 

A.L-'I.Z.Z.A.H Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template In collaboration with fifa
and web hosting