Friday, July 31, 2009

Pintu Taubat itu Masih Terbuka...


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan


Pintu bilik dibuka. Kosong. Tangan mengibas-ngibas baju. Bahang sungguh hari ini.

"Mana pergi semua orang ni?" Pelik. Tak ada orang langsung. Kepala menjenguk ke dalam tandas. Juga kosong. Sesekali terdengar bunyi titisan air dari kepala paip yang tidak ditutup rapat.

Kaki terus berjalan keluar dari perkarangan asrama. Sehingga ke luar pagar juga tiada satu pun kelibat manusia dilihat. Hati mula berdetak kencang. Peluh jernih membasahi seluruh badan.

Sampai di satu kawasan berhampiran pejabat, sayup-sayup terdengar suara namun butirannya tidak jelas. Dari jauh dilihat berduyun-duyun manusia berlari-lari tanpa arah.

Apa dah jadi? Ke mana mereka pergi? Ya Allah kenapa ni?

Bersaksikan mata kepala sendiri, saya seakan-akan menonton satu babak cemas dalam filem perang apabila melihat manusia berlari-lari meminta tolong tanpa arah tujuan dan saya sekadar tercegat di tengah-tengah mereka. Termangu-mangu berfikir tindakan seterusnya. Mereka yang berlari-lari itu bukan orang lain, tetapi kawan-kawan saya, junior-junior saya, senior-senior saya. Ada yang menangis, ada yang meraung-raung minta pertolongan entah dari siapa. Ya Allah.. mungkinkah hari yang kau sebut-sebutkan itu sudah tiba? Mungkinkah ini saatnya?

Saya masih berdiri di celah mereka yang cemas.

Allahuakbar!!

.....

Astaghfirullahalazim..
Mimpi rupanya aku ni..~

Dada berombak kencang. Peluh melekit di dahi. Jam menunjukkan 9.30 malam.

Astaghfirullah... Astaghfirullah.. Astaghfirullah..

T Shirt BIG masih disarung. Oh baru teringat. Pulang dari Baling terus mencari bantal akibat keletihan yang melampau. Dan mimpi tadi...??

.....

Seminggu kemudian...

Sejurus selepas tamat pertandingan aerobik di gimnasium, badan mula dirasakan sesuatu yang tak kena. Tekak menjadi pedih tiba-tiba. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Telan air liur dirasakan seperti satu seksa yang amat sangat.

Aduh.. kenapa ni? Baru semalam kecoh berita seorang junior positif H1N1. Nauzubillah..

Mengadu kepada warden dan terus diarahkan ke hospital. Di hospital sesak betul. Kepala semakin berat. Tika itu minda sudah terawang-awang entah ke mana. Separa sedar.

Keputusannya. Fuhh. Tak pernah saya rasa bersyukur sebegini kala dilanda penyakit, selepas doktor mengesahkan sekadar demam panas dan tekak luka, alhamdulillah mampu tersenyum walau masih berada dalam keadaan separuh sedar.

Keesokannya tubuh masih tidak berdaya untuk bangun apatah lagi untuk mengadap MBO, maka MC diambil secara sukahati seolah-olah maktab abah yang punya. Macam mana roomate tinggal, macam tu juga lah keadaan saya setelah pulangnya mereka dari kelas. Sungguh, tak sedar langsung.

Petang - terdengar announcement cuti sampai 5 hb. Kecoh seketika blok. Kala itu suasananya tak ubah seperti dalam tempoh hari. Cuma bezanya saya sekadar mampu mendengar dan terbaring lesu di dalam bilik sendirian.

Otak mula ligat berfikir walau jasad lembik tak bermaya. Mungkinkah telah Allah sampaikan petanda ini melalui mimpi tempoh hari? Mungkinkah itu amaran awal dari Dia untuk kita? Astaghfirullahalazim. Ampunkan kami Ya Allah..

............


Bukan sekali dua saya mengalami mimpi yang bukan sekadar mimpi ini. dan kebanyakannya saya tidak begitu ambil peduli dan sekadar menganggap ianya mainan syaitan dalam tidur mengganggu manusia. Tapi bohong jika saya berkata saya tidak berfikir tentang mimpi-mimpi ini. Cuma biasanya ianya hilang sendiri dari ingatan... Entah ke mana saya sendiri tak bisa untuk menjejakinya.

Dan H1N1 di IPTB. Dengar cerita 5 dari kita disahkan positif ya? Wallahualam. Dan apa rasa kalian? Terfikir mengapa Allah turunkan penyakit ini kepada kita? Mengapa di institut kita?

"Mungkin kerana terlalu banyak kemungkaran dan maksiat di institut kita. Jika Allah nak turunkan bala, Dia tak akan turunkan pada seorang, tetapi kepada semua yang ada di sekelilingnya. Jadi inilah masa yang sesuai untuk kita kembali muhasabah diri kita, dosa apa yang kita lakukan sehingga Allah begini murka kepada kita, dan bertaubatlah kepada Nya seikhlas hati mu sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun...Insya Allah.."

"Ya Allah, sesungguhnya kami amat berdosa kepadamu Ya Allah. Ampunilah dosa-dosa kami Ya Allah.. Jauhkanlah kami dari segala macam penyakit terutamanya H1N1 ini Ya Allah. Kami hanyalah hambamu yang hina yang sering melakukan dosa Ya Allah. Terimalah taubat kami Ya Allah. Sesungguhnya Engkau maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat.."



















Tuesday, July 28, 2009

Wahai aku yang Lemah!!


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan


Lemahnya saya dalam perjuangan ini begitu mudah tewas tunduk kala ujian Nya mendatang. Hinanya saya begitu mudah runtuh segala semangat yang menggunung.
Dhaifnya saya begitu goyah bak lalang terbang pada prinsip berbeda beda.
Allahu Robbi.. Kuatkanlah aku di jalanmu. Thabit kan aku pada Deen Mu..

3 minggu yang suram. Saya kehilangan punca yang menjemput hadirnya lemah dalam perjuangan ini. Hidup dirasakan kosong. Muna tanpa 'Izzah. Jalan juang itu dirasakan makin hilang kemanisannya. Cuba memuhasabahkan diri, refleks akan segala yang sudah berlaku, namun gagal ketemu punca dan penyelesaian. Hasilnya segala yang dilakukan semuanya jadi serba tak kena! Hati bertanya mengapa dan mengapa namun dibalas dengan kebisuan.

Allah sedang mentarbiyyah saya.

Kala sahabat ditimpa ujian dan musibah, mudah bibir bertutur demi menenangkan hati, "bersangka baiklah dengan Dia, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui", "ujian Allah itu adalah untuk meingkatkan keimanan kita.." Allah.. Hakikatnya melakukan tak semudah melafazkannya... Namun tiada yang mustahil jika diri mengkehendakinya, berjuang ke arah itu, berjuang melawan lemah itu!!

Sahabat, saya perlukan kalian dalam mengumpulkan semula kekuatan ini. Saya tidak sekuat yang saya zahirkan. Jazakumullah khairan kathira pada sahabat-sahabat yang tak pernah walau sepicing pun lupakan saya dalam perjuangan ini, berusaha membantu mengembalikan semangat saya kala ianya makin pudar. Saya sayang kalian kerana Dia....

...................................................................................

Tarbiyah bukan untuk orang manja
Tarbiyah bukan untuk orang yang manja.
Tarbiyyah bukan untuk orang yang malas.
Da’wah bukan untuk orang yang takut nak bergerak dan mencabar diri.
Tarbiyyah bukan untuk orang yang cepat bosan, lari, lompat-lompat,
sekejap down-sekejap up, cepat terasa.
Tarbiyyah bukan bagi orang yang memilih program untuk dia ikuti-yang
senang dan mudah join, yang penat, bersusah payah elak.
Bukan untuk orang yang mencari tarbiyyah hanya bila terasa diuji oleh
tuhan. Kalau tak, batang hidung pun tak Nampak.
Bukan bagi yang meletakkan da’wah hanya untuk mencari calon akhawat
sebagai sang isteri,

-yang join hanya untuk meminta tolong teman-teman pencerahan bila dia
dalam kesusahan..
Tapi kesenangan dan kelebihan yang dia dapat, tak share pun dengan orang lain.
-yang cepat mengalah,
-yang meletakkan mabit, qiamullail, daurah, dan tathqif dalam diari
hanya selepas ditolak dengan semua agenda dan upacara-upacara
‘penting’ yang lain.
-yang hanya pandai cakap (dan menulis), tapi amal kosong
-yang hanya tahu compare jamaah itu dengan jamaah ini, yang boleh
jarah wa ta’dil harakh ini dan itu.

Da’wah bukan untuk orang yang ikut liqa hanya kerana nak disebut
sebagai ahli dalam harakah ini dan itu, jamaah ini dan itu.
Da’wah bukan untuk orang yang tak boleh diberi tugasan last minute.
Da’wah bukanlah untuk orang yang tak nak keluarkan duit, infaq di jalan Allah.
Da’wah bukan untuk orang yang tak boleh sesekali tidur lewat, terpaksa
berjalan jauh.
Da’wah bukan bagi orang yang kalau ada program untuk ikut terlibat,
mesti naik motokar besar dan mewah, yang air-cond, dan laju. Yang tak
nak naik bas, public transport, dan yang kena berpeluh-peluh.
Tarbiyah bukan untuk orang yang kena contact dan info dia setiap masa
tentang perkembangan terkini sedangkan dia kena macam boss, hanya
tunggu information.
Pencerahan bukan bagi mereka yang hanya nak berkawan dengan orang
berduit dan berharta, yang hidup mewah, dan mengelak berkawan dengan
orang susah, miskin, dan pakai comot.
Da’wah bukanlah untuk orang yang setiap masa dan ketika, kerja nak
beri alasan ini dan itu. Penat, mengantuk, susah, banyak kerja,
keluarga tak bagi keluar.

Tarbiyyah bukanlah segala-galanya. Tapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah.

Tanpa anda, orang yang sering beralasan ini, da’wah akan terus berjalan.
Islam akan tetap berjaya. Ummah akan tetap terpelihara.

Cuma tanpa pencerahan,
Tanpa tarbiyyah,
Tanpa da’wah,
Belum tentu kita akan Berjaya di mahsyar nanti.

Tak mengapa. Teruskan hidup anda seperti biasa. Da’wah tak memerlukan
anda. Tiada siapa pun yang rugi tanpa kehadiran anda. Berbahagialah
seadanya.














..


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan


Saya dah jumpa.

Saya dah jumpa!

Saya dah dapat!

Saya akan kembali...



















Sunday, July 26, 2009

Dua Dunia Mengelirukan


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan


"Muna, balik Melaka ke? Tak nampak batang hidung pun.. " sapa seorang sahabat tika berselisih di hadapan tandas.

"Eh.. ada je..Nape?"

"Yeke.. Tak ada ape, lama je tak nampak kau.." Dia tersengih lantas berlalu meninggalkan saya termangu-mangu di hadapan tandas.

Ok. Tak perlulah kot saya announce kat satu blok ke mana saya pergi hujung-hujung minggu. Susah-susah aje.. hoho~

...

Entah kenapa sejak akhir-akhir ni saya terasa satu kelainan dalam diri. Apakah kesibukan menggoyahkan hati ini?
Terasa semacam satu kehilangan. Ya. Saya terasa saya hilang sesuatu dalam arus kesibukan yang ditempuhi hari-hari.

Saya pelik bila ada yang berkata kami duduk-duduk goyang kaki tak ada kerja. Sedangkan hakikatnya untuk menjenguk blog sendiri pun saya terpaksa curi masa sekejap. Jadi hentikan kata-kata belakang yang memualkan itu. Amaran terakhir. Noktah.

Saya cuba untuk jadi sempurna. Saya tahu saya tak kan mampu menjadi sesempurna Rasulullah s.a.w. Hasilnya saya selalu kecewa dengan diri saya sendiri. Saya kecewa bila saya tak berjaya capai target yang saya aim. Saya kecewa bila saya melakukan kesilapan. Saya tahu cara saya salah dan saya sedang cuba untuk mengubahnya namun semakin saya cuba ubah, semakin jauh saya pergi daripada landasan itu. Oh, kalian mungkin tidak mengerti entry ini.

Hidup saya sekarang seperti dua dunia yang berbeza. Perbezaan yang dijarakkan dengan dua matlamat yang besar jurang perbezaannya.
Saya cuba untuk mengasimilasikan saya dahulu dengan saya sekarang. Nyatanya saya masih tidak kuat untuk itu. Allahuakbar...

Kadang saya rasa saya terpaksa berpura-pura demi menutup jurang dua dunia itu. Kadang saya rasa saya menipu diri sendiri apabila mengangguk sedangkan hati saya meronta untuk menggelengkan kepala demi satu-satu perkara. Tujuannya satu, saya sekadar mahu menjaga hati-hati yang cukup banyak.

Banyak sebenarnya perkara atau hal yang saya bantah dalam hati. Bimbang jika dizahirkan akan mengguris lagi hati-hati manusia. Cukuplah kesilapan yang saya pernah buat. Jangan hukum saya untuk kesilapan itu..

Kini saya masih lagi dalam termangu-mangu. Saya hilang arah. Tolong saya...















Thursday, July 23, 2009

PJ..PJ..PJ..


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan


Menjadi pelajar minor PJ sem ni sungguh, meletihkan. Fit betul sem ni. Tiap-tiap hari berlari-lari. Baru minor, belum major! Aduh..

Minggu ni sahaja boleh kata tiap-tiap hari berlari. Isnin - PJ. Entah siapa yang gatal mengajak sama MBO untuk warm up. Habis satu maktab kita round!

Selasa - GERKO.
Datang lambat. Denda oleh Aisyah Bee lari 3 round. Nasib baik padang bola jaring je. Fuh..Fuh..
Main sungguh-sungguh sampai belemoih abis baju..

Rabu - Kembara Israk Mikraj (petang)
Kesilapan di check point pertama tak menggugat semangat. Berjaya mengakhiri dengan tempat ke 3 dari 11 team. Yeah. Go REVOLUSIONER! Apa yang penting? Berjemaah! heeee~

Khamis - PJ lagi.
Wargh. Tak boleh ke BPG sekali sekala panggil MBO buat kursus.. tsk..tsk T_T

Jumaat - Larian Mesra.
Saya tak cukup mesra untuk join larian ni.

Dan begitulah untuk sem ni...

Maka juga setiap petang blok akan sunyi dan sekali sekala terdengar dengkuran dari bilik Azie. Malam ke surau - minggu ni full program surau.. Suke! Suke! Balik surau maka terus terbongkang. Letih konon konon sibuk. Ceceh. Cam hebat je.



suarahati: Attiq, Travelog Seorang Da'ie pada anda kah? Bikin beta murka betul. Ouh. Tengkiu Anis for the sweet gift.. Uhibbuki fillah..... ^_^















Tuesday, July 21, 2009

Konflik Umat Islam Pattani di IPTB


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan


Entah berapa kali bibir beristighfar panjang menonton video (disebut vi-de-o) yang dipertontonkan oleh para Mujahid Mujahidah dari Pattani menceritakan betapa sebenarnya pendek dan ceteknya pengetahuan dan keprihatinan kita kepada saudara seagama, sebangsa, sebahasa kita di Selatan Thai (narathiwat, Pattani, Yala, dll).. Betapa sebenarnya kita dibutakan dengan berita dan khabar yang sekadar dicedok 1/100 daripada kisah yang sebenar. Kononnya keadaan semakin aman, pihak pemisah berjaya ditawan.. Tipu belako deme. Ish.

Sementara kalian (sahabat IPTB) masih hangat berbicara tentang apa yang kalian baru sahaja tonton, suka lah kiranya saya berkongsi sedikit kisah yang berjaya dicoretkan oleh Akh Salman Siddiqiy dalam ziarah beliau dan beberapa sahabat lain ke Narathiwat pada 10-12 Rejab 1430 H.

Coretan beliau merupakan kisah benar yang diceritakan semula oleh Muslimin di sana yang dikatakan pengganas dan menjadi mangsa kekejaman kerajaan Thailand sendiri. Diambil daripada blog Laskar Bintang. Selamat menghayati ....


Hasil 1 - Lembu punya pasal

dari Darul Ummah ke Naratiwat
Ziarah ke selatan Thailand pada 10 – 12 Rejab 1430.

Dalam perjalanan ke Naratiwat, kami singgah sebentar di Yala untuk menziarahi dua orang mangsa penyiksaan tentera Thailand.



Mesyuarat melantik amir

Kes berlaku pada bulan Mei 2009.

Pada hari kejadian, setelah solat Isyak disebuah surau, Adil dan Sofi keluar hendak melihat dua ekor lembu mereka yang ditambat disebuah tempat.

Ketika melalui pos pemeriksaan tentera, mereka ditanya arah tujuan. Kemudian salah seorang tentera pergi memeriksa tempat lembu tersebut bagi memastikan kesahihan jawapan.

Entah bagaimana, tentera tersebut mendapati disana terdapat 3 ekor lembu, bukan dua ekor. Disyaki tentera itu sedang kemabukan arak.

Jadi para tentera yang menyekat dua orang pemuda itu naik berang dan mula menyoal siasat, memukul, menendang dan menuduh mereka berdua sebagai pengganas.

Apatah lagi apabila mendapati mereka berdua membawa lastik ( yang asal tujuannya adalah untuk menghalau binatang-binatang lain dari mengganggu tanaman mereka )

Belum cukup dengan itu, mereka berdua direndam pula didalam sungai dan diawasi sehingga pagi sebelum dilepaskan.

Ibu mereka terkejut melihat keadaan mereka yang pucat, lemah, luka dan lebam disana sini. Lalu dia segera membuat laporan, bukan kepada polis, tetapi kepada seorang aktivis pembela masyarakat yang merupakan seorang peguam.


Ibu dan kakak mangsa

Kejadian itu kemudian menjadi heboh. Sebilangan rakyat mengadakan protes. Lalu pihak tentera datang kerumah. Mereka mahu meminta maaf, berharap laporan itu ditarik balik, dan cuba merasuah dengan beras dan beberapa keperluan dapur yang lain.


Rumah mangsa

Tapi ternyata sang ibu mempunyai maruah yang tinggi, tetap mahu membawa kes ini kemuka pengadilan. Pihak tentera pun datang beberapa kali dan mengugut ibu tua itu.

Namun dia tidak peduli. Nasib anaknya mesti dibela.

* “Isy, jahat sungguh la tentera ni..” ujar Ismail, 15, geram. Anggota-anggota Laskar Bintang yang lain hanya diam mendengar.

* Insya Allah entry (hasil) yang lain akan menyusul selepas ini, antaranya wawancara dengan beberapa orang aktivis masyarakat dikalangan mahasiswa yang sering ditangkap, dikeronyok, rumahnya dibakar dan ibu bapanya diugut oleh tentera.


Hasil 2 – Kerana TIMUN


dari Darul Ummah ke Narathiwat
ziarah ke selatan Thailand pada 10 – 12 Rejab 1430


Dari Yala, kami dibawa pula ke Jaha, ke sebuah desa dimana berlakunya tragedi yang sangat sadis.

Tragedi yang sangat menyayatkan hati.

Bertempat di Tempat 5, Kampung Sukai, Mukim Petai, Jaha, Wilayah Jala ( bukan Yala ).

Kes : Suatu hari, Yusof - seorang penduduk kampung disitu - membawa pulang 2 guni timun selain beberapa tin sardin yang disedekahkan olah saudaranya dari luar kawasan. Dia diamanahkan untuk membahagi-bahagikan kepada penduduk kampungnya selain untuk keperluannya sendiri.

Ketika melalui pos kawalan, tentera Thailand mula bertanyakan bermacam-macam soalan kerana mencurigai kegunaan sebenar timun-timun yang sangat banyak itu. Mereka mengsyaki ia akan dijamu kepada puak pemisah ! Namun selepas itu mereka melepaskannya.

Tapi rupa-rupanya pihak tentera sedang merencanakan sesuatu.

Malam Selasa, 27 April 2009 – seperti biasa di rumah Yusof yang terletak didalam kebun getah, jauh dari rumah orang lain, diadakan kelas pengajian al-Quran untuk kanak-kanak. Walau pun jumlah murid hanya 5 orang sahaja, kelas tetap berjalan dengan rancak.


rumah Yusof

Tiba-tiba pintu rumah ditembak bertalu-talu. Kemudian ditendang roboh. Beberapa orang tentera menyerbu masuk dan menembak Yusof, Ismail (guru al-Quran) dan 2 orang pelajar perempuan (salah seorang bernama Khaizul).

Kanak-kanak lain menjerit ketakutan lalu menyorok dibawah tikar. Tentera-tentera yang keji itu membiarkan mereka hidup.

Dua orang anggota tentera kemudian diarahkan memeriksa kawasan sekitar kalau-kalau operasi mereka ini diketahui orang lain.

Mereka berdua mula berjalan meninjau-ninjau hinggalah mereka tiba di Masjid al-Abror, sekitar 500 meter dari rumah Yusof yang telah syahid sebentar tadi.


Masjid al-Abror

antara kesan tembakan

Diluar masjid itu, terdapat 3 orang lelaki yang sedang berborak-borak setelah selesai solat Isyak. Tiba-tiba mereka pula ditembak dua tentera itu, hanya kerana : mereka disyaki sedang berbual tentang operasi Tentera Thailand tadi.

Tembakan dilepaskan bertalu-talu. Akhirnya 2 orang dari mereka gugur syahid, seorang berjaya melarikan diri.

Syuhada’ pada malam itu berjumlah 6 orang !

“Sore tu (mangsa) anak hambo, namo dio Mad Ramli,” ujar Pak Midin, 66, ketika ditemubual. Rumahnya hanya bertentangan dengan masjid itu. “Sorang lagi adik ipar hambo, Haji Abdullah..” Pekat dengan loghat seperti orang Kelantan.

dihalaman rumah Pak Bidin

* beliau tak mahu gambarnya diambil atas faktor keselamatan.

Kami juga sempat menziarahi balu asy-Syahid Haji Abdullah. Wajahnya kelihatan sayu sekali, tentu saja kerana masih terkesan dengan tragedi itu.

“Orang tentera ada datang sini, bagi beras dan macam-macam lagi,” ceritanya. “Kat abang saya ( pak Midin ) pun depa bagi juga..”

*maksud sebuah hadis : orang yang mati dizalimi itu syahid.


*lansung tiada respon dari Laskar Bintang. Mungkin mereka tidak percaya.

berhenti berehat sat



Hasil 3 – ‘Palestin’ Asia Tenggara

dari Darul Ummah ke Narathiwat
ziarah ke selatan Thailand pada 10 – 12 Rejab 1430


Kami berangkat pula ke Naratiwat. Perjalanan yang sangat jauh. Sangat jauh dan sesak pula, kerana penumpang yang berlebihan sehingga salah seorang dari kami diserang kekejangan kaki.

Dan entah berapa puluh pos kawalan tentera yang kami terpaksa lalu.

Disalah sebuah pos, kami diperiksa. Kami disuruh keluar dari kereta dan menunjukkan passport masing-masing. Malah isi gambar dalam kamera juga diperiksa.

Beberapa orang tentera datang mendekat sebagai langkah berjaga-jaga. Gerun juga melihat M-16 yang disandang mereka. Dengan tampang yang serius, tiada tanda-tanda mereka mahu bermesra walau dengan ‘pelancong’ seperti kami.

Kami kemudian diminta berbaris lalu dirakam gambar satu persatu. Alhamdulillah, selepas itu kami dibenarkan meneruskan perjalanan.

Kami berhenti disuatu tempat, sebelum seorang muslimat berjubah dan berpurdah hitam datang dengan motosikalnya. Seperti yang dijanjikan, dia menunjukkan jalan ke Masjid al-Furqan, tempat dimana berlakunya tragedi berdarah itu. Dengar kata dia seorang guru matapelajaran Bahasa English.

Syukur, kami sampai ke Kampung Air Tempayan setengah jam kemudian. Penduduk kampung menyambut dengan sangat ramah.

Namun kami tidak mampu seramah mereka. Kerana masjid itu sekarang tersergam dihadapan kami. Tentu saja kami terus terbayang-bayang peristiwa yang kejam itu. Orang-orang bersenjata. Das-das tembakan. Tubuh-tubuh yang tumbang. Darah yang bersimbah.

Kejam. Sangat kejam.

Majlis kecil diadakan. Ustaz Kamaruddin memberi tazkirah kepada para balu syuhada’. Sungguh tiada roma kesedihan diwajah mereka. Malah mereka seolah-olah bangga, mampu tersenyum.

Tapi tidak bagi anak-anak yang kini bergelar yatim. 5 orang semuanya. Kami cuba menceriakan mereka. Namun sepertinya tiada apa lagi yang mampu membuatkan mereka riang seperti dulu.

Apa sebenarnya yang berlaku ?

“Berlaku pada 8 Jun, jam 7.50 malam.” Jawab Ustaz Abdul Khadir bin Abdullah. “Tembakan pertama yang mengena salah seorang jemaah adalah selepas sujud kedua rakaat pertama, iaitu sewaktu hendak bangun untuk rakaat kedua..” Khatib masjid tersebut dapat menyebut satu persatu dengan lancar.

Suatu fakta yang dia tak dapat lupa sampai bila-bila.

“Sebelum tembakan mengena para jemaah, tembakan dilepaskn dahulu melalui tingkap bahagian mihrab. Seolah-olah tu tembakan amaran.”

Tingkap itu tinggi. Jadi tidak mengenai sesiapa.

“Namun tak ada jemaah yang berganjak dari solat. Sehinggalah pembunuh-pembunuh tu pergi kebelakang jemaah dan.......” Khatib itu tidak meneruskan kata-katanya, berharap kami faham.

“Jadi semua jenazah hanya terdapat kesan tembakan dibahagian belakang badan dan belakang kepala.. Dan alhamdulillah, kebetulan pada malam itu tiada jemaah wanita dan kanak-kanak, tidak seperti biasanya..”

Sebab berlaku pembunuhan ni ?

Dia tersenyum tawar, tanda tidak pasti. “Tapi sehari sebelum tu, ada orang Siam kena bunuh. Tak jauh dari sini, lebih kurang 15 batu. Jadi ni mungkin kerana nak balas dendam.”

Eh, sehari selepas kejadian pula, ada seorang sami Budha kena tembak.

Mungkin ini suatu usaha untuk mempelagakan masyarakat Islam dan Siam, pendapat seorang sahabat.

Siapa yang buat ?

“Tentera Siam,” jawab Ustaz Abdul Khadir, pasti, tapi suaranya menjadi perlahan, bimbangkan sesuatu. Matanya pula sedikit terbuka lebih luas.

Bagaimana dengan peluru ?

“Peluru yang biasa digunakan tentera dan pasukan Rela, jenis untuk M-16 dan senapang patah – peluru tabur..”

Dan rupa-rupanya kami adalah rombongan dari Malaysia yang keempat, beritahunya bila ditanya tentang bantuan yang sudah diterima.

“Kerajaan Thai beri 200000 bat pada isteri Wan Abdullah, imam masjid.. 500000 bat pada isteri Shori, Penolong Penghulu.. 500000 bat pada isteri Yusri, guru..”

RM 1 sama dengan 10 bat.

* “Ini cerita pasal gambar-gambar orang yang kena tembak waktu tengah sembahyang, yang abang pernah tunjuk tu, ke bang ?” tanya Faiz.

“Pasal apa depa kena bunuh, bang ?” tanya Alif pula.

“Kan abang dah cerita hari tu..” Fitri mengingatkan.

“Tak pa, mai aku cerita pula,” tawar Ismail.


* Insya Allah, gambar-gambar ziarah di Masjid al-Furqan dan nama-nama para syuhada’ akan dipos besok.


Hasil 4 – Syuhada

dari Darul Ummah ke Narathiwat
ziarah ke selatan Thailand pada 10 – 12 Rejab 1430


Khotib Masjid al-Furqan menghulurkan dua helai kertas. Terdapat tulisan-tulisan jawi diatasnya.

Subhanallah, nama-nama para syuhada’ !

Dia tersenyum. “Kami photostat banyak-banyak dan beri kepada semua orang yang menziarahi..”

Jazakallahukhoiron.

Wan Abdullah bin Wan Tih, sang imam, 64.
Shori bin Ibrahim, Timbalan Penghulu, 33.
Yusri bin Darami, guru, 60.
Hasyim bin Latif, 60.
Abdur Razak bin Abdullah, 50.
Haji Yusof bin Muhammad Tahir, 64.
Sulaiman bin Adam, 64.
Ahmad bin Maksin, 67.
Ramli bin Abdullah, 23.
Haji Daud bin Wati, 50.

Sepuluh orang semuanya.

Siapa yang tak cemburu ? Semua orang mahu bertemu Allah swt dalam keadaan tubuh masih dipenuhi darah dek tidak dimandikan semasa didunia.

Di‘sana’ nanti, mereka pasti bangga dengan kesan ‘comot-comot’ darah itu, menayang-nayang kepada semua orang dan kemudian terlihat Rasulullah saw melambai-lambai tangan kepada mereka.

“Mai sini !” panggil baginda, dengan senyuman yang paling manis. Mungkin begitu.

Maksud sebuah sabdaannya : orang mukmin yang mati kerana dizalimi itu syahid !

* “Abang, tentera Islam ada Allah kan ? Habis tentera Thailand ada sape ?” tanya Ahmad, 6 tahun. “Bukan Allah, kan ?”


majlis bertemu para balu syuhada'

siapakah pembela para balu syuhada' ini ?


salah seorang balu syahid dan anaknya

beramah mesra dengan salah seorang mangsa yang terselamat


...................


Harapnya semoga keprihatinan kita kepada saudara-saudara kita ini bukan sekadar bertahan pada hari ini. Itu pun lepas dengar cerita deme ye. Kiranya kita yang jauh ini dan tiada punya upaya untuk membantu mereka secara fizikal, bukanlah alasan untuk memandang sepi perjuangan saudara kita ini. Sentiasa berdoa untuk mereka, sedekahkan Al Fatihah kepada mereka, dan selalulah mohon pertolongan daripada Allah. Sesungguhnya kita mampu menjadi burung pipit di zaman Nabi Ibrahim a.s kala Nabi Allah itu dibakar hidup-hidup.. Insya Allah...












Antara Michael jackson dan Syahidah Marwa Al Sharbini


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan





Antara Michael jackson dan Syahidah Marwa Al Sharbini



Saya sedih, bukan karena kematian MJ yang dipuja jutaan orang di dunia. Tapi saya sedih, karena pada saat yang sama, berlangsung perkebumian seorang muslimah yang Insya Allah menjadi seorang syahidah karena mempertahankan jilbabnya. Marwa Al-Sharbini, seorang ibu satu anak yang sedang mengandung tiga bulan, syahid akibat ditikam sebanyak 18 kali oleh seorang pemuda Jerman keturunan Rusia yang anti-Islam dan anti-Muslim. Tapi berita ini, sama sekali tidak saya temukan di tv-tv kita , negara yang majaroti penduduknya Muslim, bahkan mungkin, tak banyak dari kita yang tahu akan peristiwa yang menimpa Marwa Al-Sharbini..




Ribuan orang di Mesir yang mengantar jenazah Marwa Al-Sharbini ke tempat istirihatnya yang terakhir, memang mungkin banyak orang yang menangisi kepergian Michael Jackson. Marwa hanya seorang ibu dan bukan superstar seperti MJ. Tapi kepergian Marwa Al-Sharbini adalah lambang jihad seorang muslim. Marwa Al- Sharbini mempertahankan harga dirinya sebagai seorang Muslimah yang mematuhi ajaran agamanya meski pun untuk itu ia kehilangan nyawanya.

Marwa Al-Sharbini ditikam di ruang sidang kota Dresden , Jerman saat akan memberikan kesaksian atas ancaman terhadapnya . Ia mengadukan sorang pemuda Jerman bernama Alex W yang kerap menyebutnya “teroris” hanya karena ia mengenakan jilbab. Dalam suatu kesempatan, pemuda itu bahkan pernah menyerang Marwa dan berusaha melepas jilbab Muslimah asal Mesir itu. Di persidangan itulah, Alex kembali menyerang Marwa, kali ini ia menikam Marwa Al-Sharbini berkali-kali. Suami Marwa yang berusaha melindungi isterinya, malah terkena tembakan pehak berkuasa keamanan pengadilan yang berdalih tak sengaja menembak suami Marwa yang kini dalam kondisi kritis di rumah sakit Dresden .

Peristiwa ini sepi dari pemberitaan di media massa Jerman dan mungkin dari pemberitaan media massa asing dunia karena yang menjadi korban adalah seorang muslimah yang dibunuh oleh orang Barat yang anti-Islam dan anti-Muslim. Situasinya mungkin akan berbeza jika yang menjadi korban adalah satu orang Jerman atau orang Barat yang dibunuh oleh seorang ektrimis Islam.. Beritanya dipastikan akan gempar dan mendunia.



Itulah sebabnya, mengapa di tv-tv kita cuma sebuk dengan pemberitaan pemakaman Michael Jackson yang mengharu biru itu. Tak ada berita pemakaman Syahidah Marwa Al-Sharbini yang mendapat sebutan “Pahlwan Jilbab”. Tak ada protes dunia Islam atas kematiannya. Tak ada tangisan kaum muslimin dunia untuknya. Tapi tak mengapa Marwa Al-Sharbini , karena engkau akan mendapatkan tempat yang paling mulia di sisiNya ALLAH SWT . Seiring doa dari orang-orang yang mencintaimu. Selamat jalan saudariku, maafkan kami jika kurang peduli …


Emel dikirim daripada Mohd Zaini Hj Bisri <zainie_2020@yahoo.com>


Semoga roh Syahidah Marwa ditempatkan dalam kalangan mujahidah-mujahidah syahidah. Semoga perjuangan beliau mempertahankan hijab menjadi pembakar semangat kita, para Muslimat! Allahuakbar!!








Monday, July 20, 2009

Saya sedar saya bukan sapa-sapa... Maafkan saya...


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan


Saya sedar saya bukan sapa-sapa.
Saya sedar saya hanya insan hina yang masih bertatih dalam hidup.
Saya sedar saya manusia yang sentiasa buat silap dan khilaf.
Saya sedar saya tak layak lagi bergelar sahabat yang mampu membimbing sahabat lain apatah lagi untuk bergelar si da'ie.
Saya sedar saya tidak bersikap positif dalam semua hal.
Saya sedar saya terlalu keras dalam beberapa hal.
Saya sedar saya tak sensitif lantas melukakan hati sahabat saya.
Saya sedar kata-kata saya banyak mengguris hati orang.
Saya sedar ada yang tidak menyenangi perlakuan saya.
Saya sedar saya tidak punya daya untuk merubah hati manusia.
Saya sedar saya tidak punya daya untuk merubah fikrah manusia.
Saya sedar saya tidak punya daya untuk mencorakkan pandangan sahabat mengikut pandangan saya.
Saya sedar saya tak layak untuk berkata-kata.
Saya sedar saya jahat.

Maka

Izinkan saya memohon maaf atas segala keterlanjuran kata yang mengguris hati sesiapa sama ada secara sedar atau tidak.
Izinkan saya perbetul kesilapan saya kepada kalian.
Juga izinkan saya perbaiki diri saya yang dhaif ini.
:(

Maafkan saya wahai sahabat-sahabat sekalian.
Saya masih belajar untuk bergelar sahabat kepada kalian.
Ketahuilah saya sangat menyayangi kalian. Semuanya kerana Dia.

Ukhuwwah Fillah













Thursday, July 16, 2009

Minggu Bebudak Baru


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan


Tidak akan update.

13-17 Julai : Faci Minggu Orientasi

17-19 Julai : Ke Merbok (Kursus Pemantapan Nuqaba')

Sekadar mampu berpesan : Jangan lupa Allah di mana saja kalian berada dan mari boikot China!



Tak sangka gambar I yang terpilih masuk laman web maktab. auu.
















Wednesday, July 08, 2009

Positif - Pentingnya bagi Nuqaba'


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan

sekadar grafik hiasan



"Masam je muka kakak tu. Takut aku nak tanya," si junior menarik muka sambil berbisik pada rakan sebelah.

"Tau tak pe. Macam garang je," tambah si rakan.

Si 'kakak' yang tidak mendengar kata-kata belakang 'adik-adiknya' masih syok meneruskan usrah dengan gayanya yang tersendiri. Serius dan tegas. Sesekali cuba membuat lawak namun tidak mendapat sambutan hangat daripada adik usrahnya. Kalau gelak pun sekadar menjaga hati si 'kakak'. Akhirnya usrah ditamatkan dengan rasa bosan dan si 'adik-adik' sekadar hadir kerana terpaksa.

Hasilnya, lahir generasi usrah yang termangu-mangu dalam halaqah, cukup masa mula panas punggung, jam dibelek beberapa kali. Bila ditanya kenapa datang usrah - sebab semua orang pergi, kalau tak pergi malu lah! Hanya kerana hati mereka tidak berjaya ditawan oleh si 'kakak' naqibah.

Menawan hati Mad'u

Saya bukan naqibah. Tetapi saya percaya saya dan setiap insan yang bernafas di bumi Allah ini adalah khalifah Allah. Khalifah yang amanahnya adalah untuk menjaga bumi Allah dengan menegakkan fikrah Islam syumuliyyah dalam diri manusia seterusnya bersama membina daurah islamiah. Itu amanah Allah kepada KITA.

Namun tak ramai yang sedar akan amanah ini. Ini antara punca kepada permasalahan seseorang itu yang kehilangan arah tuju dalam hidup. Persoalannya mengapa kita hidup? Mengapa Allah jadikan kita, roh kita ini? Mengapa Allah ciptakan bumi yang penuh dengan godaan ini kemudian membangkitkan manusia di Mahsyar kelak? Mengapa Allah membahagikan adanya dosa dan pahala, syurga dan neraka, syaitan dan malaikat, hak dan batil? Mengapa? Pernah terfikirkah kalian akan persoalan ini? Dan ketemu jawapannya?

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.” (Q.S. al-Dzariyat [51] : 56)


Jelas Allah telah memberi jawapan kepada segala persoalan mengapa itu dalam surah ad dzariyat ayat 56. Dan itu matlamat hidup kita sebagai hambaNya.

Namun, dalam usaha menerapkan fikrah di samping memberi kefahaman mengenai mengubudiyyahkan diri kepada Allah dalam diri manusia ini, penggerak dakwah iaitu sang da'ie berperanan paling besar dan jelas sekali kepentingannya sama penting ibarat guru dalam sesebuah sekolah. Jika tiada guru, siapa yang akan menyampaikan ilmu? Jika tiada guru siapa yang akan mendidik anak bangsa kita?

Saya pernah berada dalam kelompok si 'adik-adik' yang menganggap usrah dan kakak naqibah itu sebagai satu rutin harian dalam jadual persekolahan. Saya mengenal usrah seawal usia 13 tahun sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke Sharodz. Dan saya masih ingat naqibah saya ketika itu adalah kak Mufidah Bunyamin. Baik dan manis orangnya. Namun hidayah Allah itu tidak hadir dalam hati saya dan usrah yang saya hadiri hanyalah kerana terpaksa. Entah apa yang saya dapat pun saya tak ingat.

Kini setelah menapak dalam bidang perguruan, bertatih menjadi sang guru, sedikit demi sedikit saya mula menyedari betapa pentingnya usrah itu dan dua kali penting naqibah itu dalam membina generasi Al Ghazali, Salahudin Ayubi, dan Imam Hasan Al Bana!

Berbicara tentang naqib/ah, kalian perlu sedar bahawa kalian merupakan tempat rujukan adik-adik usrah, juga sebagai model yang membawa imej apa yang kalian sampaikan dalam usrah. Berat sebenarnya amanah yang perlu digalas seorang naqib/ah ini.

Sentiasa positif! Itu yang perlu ada dalam diri setiap yang bergelar naqib/ah. Positif tentang keadaan sekelilingnya, positif dengan dirinya, positif dengan permasalahan yang melanda, positif dengan mad'u-mad'unya juga! Dan jangan lupa tonjolkan imej positif itu agar mereka yang melihat kalian akan turut sama menjadi positif. Ya, itu salah satu strategi dakwah. Strategi yang paling mudah tetapi apabila dilakukan secara berterusan dan istiqamah, tidak mustahil akan memberi kesan yang bukan untuk jangka masa yang pendek.

Bukan mudah untuk menjadi positif, lagi-lagi jika kita sendiri sedang bergelut dengan pelbagai masalah. Stress yang keterlaluan sehingga boleh membuatkan fizikal dan mental seseorang itu terjejas. Jadi kalian sendiri boleh nampak betapa pentingnya sikap positif itu, betapa perlunya seseorang itu untuk bersikap positif dan betapa perlunya kita menonjolkan sikap positif itu dengan cara yang cukup mudah - senyum! Mudah sangat.

Secara peribadi, saya sendiri tertarik dengan penceramah/fasilitator/pentazkirah/naqibah/cikgu/pensyarah atau sesiapa sahaja yang suka senyum. Perlakuan yang mudah yang menjadi daya tarikan utama seseorang itu ketika menyampaikan sesuatu. Seakan-akan ada magnet yang memaksa saya untuk tidak memalingkan muka barang sekejap pun. Bila terpejam mata pun rasa rugi yang teramat :))

Jadi mulai dari saat ini, rajin-rajinkan senyum wahai hamba Allah. Senyum itu bukan susah. Orang tengok pun sejuk hati. Berikan first impression yang positif tentang diri anda kepada orang lain dengan senyum. Adik-adik pun tak takut nak bertanya. Tapi jangan pula asyik dok tersenyum sampai dikatakan gila!

*sekadar pandangan dari 'adik-adik' usrah. Tidak bermaksud untuk tujukan pada sesiapa. Harap jangan tersinggung, terasa tak pe :)))



“Jika kamu mahu menjadi seorang yang mempunyai idea, maka hendaklah kamu menjadi seorang yang berpendirian. Sesungguhnya kerosakan kepada idea berlaku, cukup dengan kamu berbelah bagi!” [Abu Tayyib al-Mutanabbi]

















Tuesday, July 07, 2009

Berpencak di Gelanggang Intelektualisme


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan



Jarang sekali saya mengambil mana-mana artikel bulat-bulat lalu ditepek di blog ini. Namun tulisan seorang saudara ini sangat menarik minat saya untuk berkongsi bersama anda. Penulisannya mungkin agak kritikal, namun motif dan isinya amat mudah untuk difahami. Jelas dan nyata matlamnya.

Berpencak di Gelanggang Intelektualisme

oleh: Marwan Bukhari*

“Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan mau’izah (pengajaran) yang baik. Dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik….” (an Nahlu : 125)

Apabila kita membelek dan mendalami setiap peristiwa yang terdapat dalam al Quran, kita pasti akan mengerti bahawa mujadalah ataupun perdebatan menjadi sunnah setiap nabi.

Mereka berdebat dan berbahas secara intelek dan berpandukan wahyu meskipun kebanyakan hujah yang dikemukakan oleh kaum mereka lebih menurut hawa nafsu, emosional dan tiada nilai ilmu.

Begitu juga apa yang telah dihadapi oleh nabi Muhammad saw tatkala berhadapan dengan kaumnya. Baginda saw dan para sahabat bijak menjawab dan mematikan hujah-hujah yang telah dikemukakan oleh kaum musyrikin dan kuffar.

Selanjutnya, mari kita melihat pula kepada sejarah dan sunnah umat Islam yang terdahulu. Kewujudan puak muktazilah yang menyanjung tinggi akal mereka mengatasi wahyu telah mengakibatkan salah faham dalam beragama yang serius pada satu ketika.

Wasil bin Atha yang telah keluar dari halaqah Hasan al Basri merupakan pengasas kepada aliran ini. Lalu, para ulama pada waktu itu berhempas pulas mempersiapkan diri mereka untuk berpencak dengan para pendokong dan penyokong pemikiran liberalisme pada zaman tersebut.

Para alim ulama seperti Hasan al Basri, Abu Hasan Asyaari, Ahmad bin Hanbal dan banyak lagi telah terlibat secara langsung dalam dialog dan wacana ilmiah yang diatur pada waktu itu.

Terdapat juga para alim ulama yang bermujadalah menerusi penulisan-penulisan mereka. Sebagai contoh polemik yang tercatat dalam sejarah ialah karya Imam al Ghazali iaitu ‘Tahafut al Falasifah’ yang membuat kritikan terhadap ahli-ahli falsafah yang terpengaruh dengan pemikiran ahli falsafah dari Yunani secara berleluasa pada zamannya.

Kitab beliau tersebut telah dikritik oleh Ibnu Rusyd yang juga merupakan salah seorang ahli falsafah muslim yang terkenal, beliau menulis sebuah kitab yang bertajuk ‘Tahafut at Tahafut’.

Neo-muktazilah

Beberapa contoh di atas merupakan hujah konkrit bahawa amalan berpencak di gelanggang intelektualisme dijadikan sebagai salah satu wasilah dalam usaha menyebarkan dan mempertahankan agama.

Jika pedang yang digunakan musuh, maka lawannya ialah pedang juga, manakala jika lisan dan tulisan yang digunakan, maka lisan dan tulisan hendaklah diutamakan pembalasannya.

Sejak akhir-akhir ini, kedapatan banyak yang bising dengan kebiadapan aktivis-aktivis yang kononnya menuntut keadilan gender. Gerakan feminisme ini telah menggelarkan organisasi mereka sebagai Sister In Islam (SIS).

Mereka telah menyalak sejak 90-an lagi dan atas prinsip ‘istikamah’, maka mereka masih belum berhenti daripada menuntut equality supaya dapat keluar daripada halaman Islam. SIS merupakan duta pemikiran Islam liberal yang diperkuatkan keanggotaannya menerusi anak-anak orang besar di negara malaysia.

Di negara Indonesia, kewujudan suku sakat SIS lebih berani dan teratur. Sebagai contoh gerakan sekularis liberalis yang bernama Jaringan Islam Liberal (JIL) telah berjaya mempengaruhi sebilangan besar umat Islam di sana.

Isu-isu yang dikemukakan mereka secara serius seperti pluralisme, al Quran edisi kritis (QEK), hermeneutika dan feminisme telah berjaya menggongcangkan akidah umat Islam di luar sana. Antara pemuka JIL ialah Nurcholis Majid (sudah meninggal), Ulil Basya Abdalla dan Taufik Adnan Amal. Pendokong-pendokong JIL juga telah berjaya menjadi tenaga pengajar di beberapa universiti Islam di Indonesia.

Bersediakah kita?

Setelah membaca buku Pemikiran Islam Liberal yang merupakan himpunan kertas kerja yang pernah dibentangkan oleh Dr. Ugi Suharto, saya bertambah yakin bahawa kita masih kekurangan penghujah yang boleh menjawab persoalan-persoalan yang dilontarkan oleh pengikut neo-muktazilah ini.

Cukuplah saya bertanya kepada anda, adakah anda betul-betul memahami apakah itu hermeneutika dan QEK yang diperjuangkan oleh penganut fahaman ini?

Dr. Ugi Suharto yang juga merupakan anak didik Prof. Dr. Syed Naqib al Attas telah menerangkan beberapa isu sentral yang selalunya ditimbulkan oleh penganut pemikiran Islam liberal dengan baik.

Saya cukup mengagumi Dr. Ugi yang telah terlibat secara langsung dalam usaha mempertahankan kesucian agama Islam daripada belitan hujah oleh golongan neo-muktazilah. Lihat sahaja hujahnya sewaktu berpolemik menerusi emel dengan orang kuat JIL iaitu Taufik Adnan Amal dalam membahaskan persoalan hermeneutik.

Baiklah, kita tutup dahulu isu pemikiran Islam liberal ini. Saya ingin terus melontarkan persoalan ini kepada anda, bagaimana pula kita mahu menjawab persoalan kapitalisme dan sosialisme dan beberapa isu sentral ekonomi pada hari ini?

Saya mengakui yang saya juga tidak mempunyai persiapan dan ilmu yang cukup tetapi sejauh manakah kita memandang serius kesemua persoalan ini? Ataupun, adakah kita sudah karam dalam mengulas dan menjawab isu-isu politik pada hari ini?

Gelanggang telah dibuka

Setelah meneliti dan membaca beberapa pandangan alim ulama, maka secara peribadi saya bersetuju supaya SIS dikenakan tindakan oleh pihak yang berkuasa di Malaysia. Namun begitu, saya menjadi runsing sekiranya tiada tindakan susulan yang kita akan ambil untuk melawan belitan hujah oleh golongan sesat itu.

Pelajarilah kesungguhan alim ulama yang terdahulu dalam memahami krisis liberalisme dan sentiasa memandang serius amalan berpencak di medan intelektualisme ini.

Bagi politikus-politikus kampus, jangan hanya menunjukkan perasaan tidak berpuas hati itu dengan bercakap lantang di belakang tetapi cuba tanya kepada diri, adakah kita bersedia menjawab kesemua persoalan yang dilemparkan oleh mereka?

Akhirnya, saya berpendapat bahawa kita sewajibnya memandang serius hal ini. Apatah lagi apabila kita yang mengaku menjunjung tinggi aspirasi perjuangan Islam ini.

Jangan hanya bersungguh dengan buku-buku haraki, tetapi cubalah seimbangkan dengan bacaan-bacaan berat yang lain. Secara peribadi, saya juga mewajibkan diri saya untuk menambahkan bahan bacaan haraki, namun dalam masa yang sama saya cuba memahami beberapa krisis dan akar yang menjadikan krisis itu makin parah menerusi bahan-bahan pembacaan yang lain.Ð

——————-

*Marwan Bukhari @ MarBu mahasiswa Darul Quran Jakim, Diploma Tahfiz dan Syariah, merupakan penulis jemputan di blog rasmi Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ). Blog peribadi beliau ialah zonremajaislam. Beliau juga bertindak sebagai pendakwah muda dan boleh dihubungi melalui:mujahid_muqatil@yahoo.com


.....


Sudah bersediakah kita untuk berpencak di gelanggang debat dengan hujah-hujah yang bisa mematahkan niat jahat pihak 'neo muktazilah' sekarang? Atau masih lekakah kita dengan dunia khayalan buatan sendiri memandang sepi si perosak-perosak akidah ummah ini?

Ayyuhal syabab!! Mana kalian semua saat Islam memerlukan kalian?
















 

A.L-'I.Z.Z.A.H Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template In collaboration with fifa
and web hosting