Wednesday, October 28, 2009

"Hidayah Hak Milik Allah" Bukan Alasan Untuk Berhenti


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan


*Menulis ketika sedang menunggu rendering video gimik Mahrojan Lughah Arabiy, Selasa lepas.


.....................

Kisah 1

"Siapa di sini mengatakan dakwah (non muslim) itu wajib?"

Pertanyaan bro Shah Kirit pada Seminar Perbandingan Agama di PSP Sabtu lepas menyentakkan lamunan. Jauh benar melayang memikirkan mengenai program penanaman semula bakau esok hari. Ah, wahai diri, sila fokus!

Tanpa berfikir terus mengangkat tangan, bersetuju dengan pernyataan itu.

"Sampaikan daripada ku walau satu ayat"


"Baiklah, adakah solat lima waktu itu wajib?" duga bro Shah.

"Wajib!" Serentak seisi dewan menjawab.

"Puasa di bulan Ramadhan? Wajib atau tidak?"

"Wajib!"

"Kalau kita tinggalkan solat, dosa atau tak?" bro Shah sengaja menduga audiens pada hari itu yang majoritinya pelajar sem 1 di politeknik tersebut. Hanya beberapa orang daripada IPT lain termasuk diri ini.

"Dosa! Mestilah"

"Jadi, kalau kita tak berdakwah kepada non muslim, dosa atau tak?"

Senyap. Seisi dewan berpandangan sesama sendiri. Saya sekadar tersenyum. Sudah jangka soalan ini.

"Dosa atau tak?" sekali lagi bro Shah bertanya.

"Dosa...er..kot.."

Bro Shah Kirit juga tersenyum....

.........................................

Kisah 2

"Seronok betul program ni. Aku suka outdoor macam ni. Kalau ada lagi, jangan lupa jemput aku lagi ye!" Bahu ditepuk kuat. Hampir tersembur makanan di mulut.

Kunyahan terhenti. Dia masih bergelak ketawa, bergembira lagi gamaknya.

"Jadi, nak pergi lagi? Sebab seronok? So, ini hanya sekadar program?"

Diam.

"Err. Maksud aku, seronok juga berdakwah ni...Eh, tak.. At least dapat pengalaman best macam ni.." teragak dia menjawab.

Keluhan berat dilepaskan.

"Dakwah bukan untuk berseronok, dakwah bukan sekadar program, dakwah bukan sekadar pengalaman, faham dahulu tujuan kau ke program ni, dan klimaksnya adalah siapa diri kau selepas program." Terus berlalu meninggalkan dia yang terpinga-pinga.


Maaf, saya tak dapat terima.

...........................


Terkadang dalam menempuh hidup seharian, terlalu banyak perkara dilalui untuk dihadami. Pahit atau manis, tiada jalan lain, harus dihadami dan dicerna sebaik mungkin supaya tidak sekadar menjadi sisipan dalam hidup. Lebih menguji, bila mengabdikan diri sebagai jundullah di jalan juang ini, banyak yang pahit dari yang manis. Hanya janji-janji Allah terus bergema dalam degupan jantung, menguatkan langkah menjadikan yang pahit itu manis.

Lazimnya bila manusia itu mengajak kepada kebaikan maka yang menolak malah mencemuhnya adalah sama banyak dengan yang meraikannya. Bukan meminta untuk perhatian, jauh sekali untuk meraih nama, namun cemuhan mengatakan hipokrit, lagak baik itu kadang-kadang bisa mengguris hati lantas mengambil keputusan menjauhkan diri daripada jalan ini. Merajuk kononnya untuk berjuang.

Tetapi, ingatkah kita kepada Pendakwah Teragung, Rasulullah S.A.W, bila mana baginda dicerca, dihina, diludah, malah berkali-kali cubaan membunuh baginda, namun baginda masih di situ, utuh memegang janji-janji Allah, bahawa Islam pasti menang jua satu hari nanti.

Tugas kita bukan memaksa perubahan, cuma menyampai pesan.

Pernah usai satu program, saya terasa diuji dengan ujian paling berat melalui rakan-rakan saya sendiri. Puas rasanya untuk menanam kefahaman dalam diri mereka tentang tujuan sebenar program itu, dan ganjaran Allah kepada para pejuang ini. Niat di hati sekadar mahu berkongsi betapa sebenarnya saya berdosa bila mengenangkan banyak tanggungjawab sebagai penyampai pesan diletakkan nombor dua selepas dunia. Entah mengapa saya begitu berkecil hati bila tiada yang cuba memahami tugas ini malahan mentertawakan saya di saat saya mencari dahan untuk bergantung. Sungguh terkilan.

Namun, saya lupa pada kalam Allah yang memujuk para da'ie ini..

272. Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat pertunjuk, (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan pertunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi pertunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya).

Al Baqarah


Benar tanpa disangkal lagi, hidayah itu hak milik mutlak Allah. Tiada siapa yang berhak ke atasnya melainkan Allah yang Maha Mengetahui. Para du'at ini sepatutnya tidak perlu berkecil hati kiranya dakwah kita ditolak oleh mad'u apatah lagi jika dicerca dan dihina kerana sesungguhnya tidaklah kita punya sebarang kuasa untuk mengurniakan hidayah kepadanya atau sesiapa sahaja, cukup sekadar menyampaikan pesan-pesan Allah berdasarkan Qur'an dan Sunnah. Namun jangan pernah berhenti daripada menyampaikan pesan kerana itu sememangnya tanggungjawab setiap insan. Dakwah tidak pernah berehat. Maka usahlah sesekali berehat daripada kerja-kerja dakwah ini kerana dikhuatiri sekali mula merehatkan diri, mula bermalas-malasan, dan seterusnya menjadi penyakit yang menular merosakkan hati dalam proses pemburuan mardhatillah..

Tetapi harus diingat, jangan disalah ertikan apabila mengatakan hidayah itu hak milik Allah, maka dengan sewenang-wenangnya segala perkara digantungkan kepada hidayah Allah. Misalnya,

"belum sampai seru.."

"tak dapat hidayah lagi.."

"ini semua kerja Allah,

11. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.

Ar Ra'd


Biarpun hidayah itu hak milik Allah, namun ianya tetap tidak akan datang bergolek. Manusia harus berusaha untuk mendapatkan hidayah Allah ini. Silapnya manusia ini apabila ditimpa kesenangan dengan bangganya mengakui segalanya adalah hasil titik peluh sendiri walhal tidaklah akan terjadi sesuatu tanpa izinnya. Dan apabila sahaja ditimpa kecelakaan, segalanya diserahkan bulat-bulat kepada Allah, Allah telah menetapkan begitu, begini. Manusia sememangnya mudah lupa.


Dakwah tidak memerlukan kita, tetapi kita yang memerlukan dakwah.

Jadi wahai para mujahidin, jundullah, ansarullah, da'ie, usahlah sesekali tunduk lalu mundur dalam perjuangan ini apabila ditolak oleh manusia. Didik diri dalam melayari bahtera hidup sebagai pendakwah ini. Bukanlah dinamakan perjuangan jika tidak diuji. Usah juga dilupakan bahawa segala bentuk dakwah ini kesannya tidak lain untuk diri sendiri juga. Berdakwah sambil mengislahkan diri sendiri. Oleh sebab itu hendaklah para Du'at ini memberi perhatian yang besar kepada proses penggarapan berbanding penyampaian. Hendaklah kita meningkatkan usaha-usaha penjernihan diri sendiri sebagai usaha untuk untuk meningkatkan orang lain. Orang yang mendidik dirinya lebih wajar mendapat penghormatan dari orang yang mendidik manusia lain.


_____________

Rujukan : Qawarib Al Najat fi Hayat Al Du'ah, Fathi Yakan
Tafsir Quran Karim










Tuesday, October 27, 2009

Tragedi Kem 1 Malaysia!



GOPENG (26.10.09): Program Perkhemahan Satu Malaysia anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia yang diadakan di SK Kuala Dipang bertukar menjadi satu tragedi yang amat menyayat hati bila mana sebuah jambatan gantung yang melintasi sebuah sungai terbungkar dan roboh menyebabkan beberapa orang murid yang sedang melaluinya jatuh kedalam sungai lalu dihanyutkan oleh air yang dalam dan deras.


Pasukan penyelamat termasuk pasukan bomba dan komando Vet69 yang dikejarkan kesana sedang bertungkus lumut mencari beberapa orang pelajar yang masih hilang malam tadi. Kelihatan juga Unit Amal PAS Malaysia turut memberikan bantuan ditempat kejadian.

Lebih kurang 22 orang murid masih belum dapat dikesan. Kerja-kerja menyelamat agak sukar dilakukan kerana keadaan yang sangat gelap. Program malang tersebut melibatkan 296 lebih murid-murid sekolah.


Pelajar-pelajar tersebut dikatakan menggunakan jambatan gantung yang baru 2 minggu dibina itu untuk makan malam (supper) yang terletak diseberang sungai jam 10.30 malam itu.


Tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang ini berlaku kira-kira jam 10.30 malam tadi ketika para peserta bergerak ke dewan makan untuk supper dan pada ketika itu sekumpulan peserta ini melintasi titi gantung yang menghubungkan 2 kawasan tersebut.

Titi gantung yang baru siap kira-kira dua minggu lalu itu tiba-tiba rebah dan seramai 22 pelajar yang berada diatas jambatan tersebut terhumban kedalam sungai. Seramai 59 peserta yang melintasi titi itu walaubagaimanapun terselamat.Kesemua peserta terdiri dari para pelajar yang dikumpulkan dari 80 buah sekolah rendah sekitar Daerah Kinta Selatan.

3 mangsa dapat diselamatkan dan dihantar ke Hospital Tapah. Seramai 255 pelajar mengambil bahagian didalam program ini yang terdiri dari 115 berbangsa Melayu,73 berbangsa India dan 62 berbangsa Cina. Penglibatan guru ialah seramai 41 orang namun hanya 13 sahaja yang menghadirkan diri manakala yang lain tidak hadir kerana tidak mendapat kelulusan guru besar sekolah.

22 mangsa masih hilang setakat ini walaupun pencarian sepanjang 10km ia masih tidak menemui apa-apa. Gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Program ini ialah dibawah anjuran PPD Kinta Selatan atas nama Kem Satu Malaysia Peringkat Daerah Kinta Selatan.

Keadaan Jambatan di Pusat Kegiatan Ko-Kurikulum
Kuala Dipang yang runtuh menyebabkan 20 peserta
program 1 Malaysia di kuatiri lemas jam 10.30 mlm tadi,
sehingga jam 5 pagi ini masih belum ada berita
mereka yang terselamat.



Seorang peserta yang hayut tetapi terselamat setelah
berenang menyelamatkan diri, sedang ditemuramah
oleh para wartawan.

Berlaku sedikit kekecohan apabila ibu bapa tidak
dapat menerima akan berita kehilangan anak mereka

Kaum keluarga yang setia menunggu sehingga jam
5 pagi,untuk mengetahui keadaan anak mereka.

Sehingga kini, 22 orang murid masih hilang, 3 telah dijumpai manakala seorang disahkan mati. (muslimin united)



















Wednesday, October 21, 2009

Bila Berdiam Diri Itu Tidak Selalu Lebih Baik


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan

Membelek-belek Dewan Masyarakat Oktober 2009 sepintas lalu kala terpandang tajuk di kulit hadapan tulisan seorang kolumnis jemputan dan tajuk yang diketengahkan itu yang menarik perhatian saya untuk membelek lebih lama majalah tersebut.

"Mengatasi Kelesuan Mahasiswa"

Ini yang saya cari. Lesunya mahasiswa sekarang hingga dipandang begitu rendah di tahap tiada apa yang golongan ini boleh sumbangkan. Begitu lesukah mahasiswa kita? Lesu yang bagaimana?

Suara mahasiswa adalah suara ketiga dalam negara ini. Hakikatnya sekarang pemerintah lebih terkesan dengan suara ketiga berbanding dengan suara di parlimen. Hebat rupanya penangan yang bergelar mahasiswa ini. Tidak sekadar berdegar-degar di hostel mahupun kampus tetapi suara mereka inilah sebenarnya antara yang mencorak negara dari segi pentadbiran, pengurusan mahupun hal-hal kecil. Ya, mahasiswa kita kini menggoncang dunia dengan idealisme unggul dan berada di barisan hadapan sekali ketika berpencak di gelanggang intelektualisme. Hujah yang dilontarkan tiada yang bisa disangkal, dan mereka inilah yang bakal memimpin dunia satu ketika nanti.

Eh. Sebentar. Bermimpikah saya?

Realitinya mungkin tiada yang jauh beza. Ya, saya tidak bermimpi. Mereka yang bergelar mahasiswa kini memang punya idealisme, hujah-hujah yang mantap dan suara yang bakal bergegar di parlimen. Mungkin sedikit berbeza apabila idealisme yang dimaksudkan adalah idealisme hiburan semata yang berkiblatkan modenisme barat, hujah yang mantap bila diminta untuk memberi alasan menagguhkan kelas atau kuliah, suara di parlimen bila tiada lain yang dibangkitkan hanya isu samseng jalanan, gejala sosial yang semuanya adalah perihal remaja yang bergelar mahasiswa!

Diam itu lebih baik.

Pernah saya mendapat respon sebegini bila mengajak beberapa teman untuk turun sama-sama ke lapangan mendekati masyarakat terutama golongan remaja. Sekadar mampu tersenyum biar pahit untuk mendengar.

Apakah benar berdiam lebih baik? Berdiam diri apabila melihat satu demi satu anak remaja kita lemas dibawa arus dunia, mendiamkan diri tatkala saudara-saudara seagama kita di Padang merayu meminta belas dan ihsan, masih membisu bila melihat kebobrokan sistem pendidikan kita, dan yang paling hina sekali bila berdiam diri itu lebih baik apabila melihat satu demi satu tujahan penghinaan terhadap Islam dilakukan golongan laknat Liberalis si pembawa agenda Yahudi.

Sakit hati bagai dirobek-robek bila situasi diam diri ini menjadi satu budaya hidup dalam kalangan mahasiswa dan tidak keterlaluan untuk dikatakan terutama dalam kalangan mahasiswa keguruan kita. Akta 174 menjadi seakan-akan satu jembalang yang menghantui hidup para bakal guru ini bila setiap perkara WAJIB dirujuk mengikut akta ini dan dengan sesenang-senangnya menghiraukan hukum dan undang-undang yang paling adil, paling telus tanpa sebarang korupsi, paling tepat dan yang paling harus diikuti iaitu hukum Allah.

Pelik benar bila manusia ini terlalu taksub dan fanatik pada hukum yang dicipta sendiri lantas menafikan hukum Sang Pencipta. Kelakar juga bila mana manusia lebih takutkan hukuman di dunia berbanding hukuman di akhirat kelak. Teruskan, teruskan dengan rasa taksub itu, rasa taksub yang menjerat diri sendiri, pembohongan demi pembohongan demi meraih kepercayaan manusia, dan sila fikirkan jawapan untuk disediakan di sana kelak.

Saya tidak akan begitu emosi jika kita masih bertolak ansur dengan perihal kebejatan gejala sosial yang melanda muda mudi sekarang, saya masih mampu bertindak rasional jika ramai yang terus memandang sinis gerak kerja saya, tapi satu yang tidak boleh kita bertolak ansur mahupun dipertimbangkan bila Islam dan syariatnya ditentang dan dihina. Lebih menyakitkan apabila yang menghina itu adalah mereka yang menggelar diri mereka Muslim yang kononnya jauh lebih rasional berbanding para ulama' terdahulu dan hanya mereka yang memahami erti sebenar Islam moden. Ada yang mengatakan adalah tidak adil bagi mereka kerana tidak diberikan peluang berhujah bila terus-terusan menghukum mereka dan mengatakan mereka ini sesat. Tidak kurang juga yang bersimpati dengan golongan ini bila suara 'penindasan' terhadap mereka dilaung-laungkan menjadi isu hangat demi menarik perhatian orang lain.

Tetapi adilkah mereka kerana dengan sewenang-wenangnya menghina Islam dan secara tidak langsung menghina Allah? Adilkah mereka bila meminta untuk menghapuskan hukum syariah di sebuah 'negara Islam'? Adilkah mereka bila terus-terusan berkomplot dengan musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan Islam sendiri? Dan adilkah mereka bila mereka menilai Islam dari sudut logikal sahaja dan mengatakan ajaran Islam yang sedia ada tidak praktikal lagi untuk diasimilasikan pada zaman sekarang?

Entah berapa ribu orang lagi yang akan disesatkan oleh golongan ini untuk menunggu mereka diadili.

Buka matamu wahai para mahasiswa. Kita telah mendapat lesen besar daripada DIA, maka untuk apa ditakutkan lagi dengan undang-undang yang kita reka sendiri. Kaki dan tangan yang dirantai oleh akta bukanlah satu alasan untuk terus menjadi lesu kerana itu hanyalah permainan psikologi birokrasi untuk menakut-nakutkan kita. Jika kita yakin Allah bersama kita, tiada apa yang perlu dirisaukan. Percaya pada janji-janji DIA.

Mahasiswa tidak lesu. Buktikan. Mahasiswa penggerak masyarakat. Buktikan. Mahasiswa merubah hala tuju negara. Buktikan. Mahasiswa itu ghuraba'-intelektualisme dan aktivisme. Ayuh buktikan!

"Untuk Merubah Masyarakat, Kita Perlu Turun Bersama-sama Masyarakat" - nantikan...












Saturday, October 17, 2009

Sayangnya...


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan


Cantik.
Sekali pandang memang cantik.
Mulus wajahnya.
Hidungnya kecil terletak.
Kala bibir yang halus menguntum senyum.
Tersusun barisan gigi memutih.

Indah.
Saya suka.
Menatap beribu kali tak kan jemu.
Bosan dengan dunia, tatap si gadis.
Luput segala permasalahan.

Ya, saya wanita. Dia juga.
Cintakan yang indah. Semua begitu.
Tidak salah.

Tapi.

Sayangnya.
Kenapa biarkan tubuhmu jadi tatapan mata-mata rakus?
Bukankah ia hanya untuk sang suami bilamana halal?
Kamu cantik. Sangat.
Indah berkerudung.
Biarpun kerudung ronanya jarang.
Terserlah bentuk leher jinjang kamu.
Sayangnya.

Kamu indah. Berbaju kurung.
Cukup indah.
Kendati kurung mu sengaja dibikin berbentuk.
Biar nampak 'shape' idaman semua wanita.
Laksana buah pear.
Baik begitu daripada tidak berbaju.
Kata kamu.

Tapi lupakah kamu

Rasulullah bersabda, “Ada dua golongan manusia yang termasuk penghuni neraka yang belum aku lihat sebelumnya: Manusia yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukuli orang lain, dan wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggak-lenggok dan kepalanya seperti punuk unta sambil bergoyang. Mereka tidak akan masuk syurga bahkan tidak akan mencium baunya, padahal baunya tercium dari jarak sekian-sekian.” (HR. Muslim)


Berpakaian tetapi telanjang.
Nauzubillah.
Moga kamu si cantik bukan sebahagian daripada golongan ini.

Saya suka dan tetap akan suka.
Bertambah suka.
Jika kecantikan mu. Diri kamu.
Dipelihara umpama sebiji epal di atas pokok.
Tidak kan mudah gugur demi berkeinginan bersama yang lain.
Biar kamu seorang dan asing. Janji kamu masih di atas.
Atas yang paling atas.
Payah nak dipetik.
Apatah lagi dihinggap haiwan-haiwan nakal.
Cantik. Kamu kan jadi secantik bidadari-bidadari syurga.
Amin Ya Rabbal Alamin.

Lengkapi dirimu dengan pakaian taqwa.
Litupi wajahmu dengan cahaya iman.
Kamu lah secantik yang bergelar wanita di bumi.













Thursday, October 15, 2009

Bulan Bahasa Kebangsaan - Misi dan Realiti


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan




Abdullah Munsyi pada tahun 1882 mengenai mentaliti bangsa Melayu terhadap bahasa mereka sendiri:

"Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?”


Hampir separuh melangkah masuk ke bulan Oktober. Gemar benar saya dengan bulan ini, mungkin kerana dua angka sifar dan satu itu yang menampakkan kita menghampiri penutup untuk tahun 2009. Tahun demi tahun, berganti tak pernah henti, namun sebanyak manakah amalan dan ibadah kita yang masih boleh dibawa ke akhirat kelak? Cukup banyak kah untuk menjawab soalan-soalan yang bakal ditanya? Mari muhasabah kembali.

Oktober bulan Bahasa Kebangsaan.

Saya pun baru tahu. Salahkan saya yang tak membaca akhbar. Salahkan saya yang suka salahkan masa tiada. Hairan. Manusia tidak pernah rasa cukup sedangkan Hukum Allah itu adalah fitrah. Manusia memang tidak reti bersyukur.

"Bahasa itu bebas nilai" - kata Abang Nizam Mahsyar dalam ASAK lepas.

Bebas nilai yang saya faham adalah maksudnya neutral. Kefahaman terhadap nilai bahasa itu bergantung kepada siapa dan bagaimana dia memanfaatkan nilai-nilai bahasa itu.

Ilmu itu bebas nilai. bergantung siapa yang memanfaatkannya, jika yang memanfaatkan adalah kelompok orang-orang yang bermental seperti atau penerus cita-cita dan ideologi Adolf Hitler maka mungkin ilmu pengetahuan bisa menjadi bencana bagi dunia dan umat manusia.

Tapi jika ilmu pengetahuan dikuasai dan dimanfaatkan oleh kelompok orang yang bermental Nabi atau para penerus ajaran dan kearifan para Nabi maka ilmu pengetahuan akan menjadi sumber dari segala sumber kemajuan peradaban dan kesejahteraan umat manusia.

Bahasa adalah subjek yang sangat akrab dengan nilai-nilai ketamadunan sesuatu bangsa. ¨Bahasa jiwa bangsa¨ itu adalah peribahasa yang betul—dengan syarat difahami dalam konteks yang juga betul.

Terbaca tentang tesis Syed Naquib Al Attas - Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu. Bahasa Melayu, menurut al-Attas, adalah bahasa yang sarat nilai-nilai Islamnya.

Berfikir sekali dua. Jika berfikir cara saya, tidak saya nampak di mana 'kesaratan' nilai-nilai Islam dalam Bahasa Melayu. Kali kedua. Berfikir secara Syed Naquib Al Attas dan ketemu jawapannya biarpun tesis itu boleh disanggah dengan beberapa data baru yang menunjukkan kelemahannya kini.

Namun, sekurang-kurangnya dalam konteks makna bahasa Melayu-Islam, tesis ini masih boleh dipertahankan lagi. Tesis inilah yang membebaskan jiwa abdi serta minda tertawan dalam kalangan bangsa Melayu, setelah berabad terjajah. Misalnya, yang paling popular ialah perbezaan makna ¨keadilan¨ yang cuba disesuaikan dengan ¨justice.¨ Ternyata, dalam takrifnya yang seni, masing-masing adalah mewakili suatu kosmologi makna yang berbeza!

Keadilan atau adil itu maksudnya dalam Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Justice mengikut Barat maksudnya kesamaan, equality. Beza bukan? Dalam Islam, justice is not equality.


Usaha 'membulankan' bahasa harusnya dipandang lebih analitikal oleh semua pencinta atau pembenci bahasa. Tampaknya seperti laungan momokan cintakan bahasa oleh Timbalan PM kita tak berapa nak menjadi bila konsep kasarnya sudah betul, mottonya sudah betul malah bernas sekali "BAHASA JIWA BANGSA" tapi bila sampai ke pelaksanaannya, tiada yang menggambarkan sebenar-benarnya perjuangan untuk memartabatkan bahasa. Sudah lebih separuh bulan ini dan ramai saja lagi yang tak tahu bulan Oktober bulan bahasa kebangsaan.

Tidaklah ingin memandang rendah antara usaha untuk kembali mengagungkan bahasa kita, jauh sekali untuk memperlekeh. Namun persoalan yang kembali timbul, sejauh mana pelaksanaan memartabatkan bahasa melalui pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan menjadi titik tolak kesedaran kepada rakyat akan nilai bahasa itu bukanlah sekadar demi perpaduan mahupun demi prestasi anak-anak melayu dalam Sains dan Matematik?

Ah. Terlampau jauh saya berbicara sedangkan dalam otak bermain perihal membaca. tekad dalam hati ingin berbicara mengenai "Ilmu Menjana Perubahan". wah dah macam moto sekolah. Sekali lagi persoalannya, sejauh mana kita bisa mencerna idea "Ilmu itu Menjana Perubahan" bila asas-asas atau basic kefahaman mengenai slogan itu tidak betul-betul difahami dan dicerna dengan baik? Dan bagaimana pula caranya untuk memahami sebenar-benarnya satu-satu konsep atau ideologi yang diketengahkan bila tiada ilmu di dada - adakah hanya dengan mentaklid buta dan terima bulat-bulat pandangan seseorang tokoh itu lalu dilaung-laungkan seolah-olah kita benar-benar faham idea yang ingin disampaikan.

Untuk berbicara tentang membaca dan skop-skopnya amatlah luas dan tidak akan cukuplah satu blog ini.

Dan ingat, bahasa jiwa bangsa. Jiwa bangsa adalah bahasa. Bangsa punya jiwa adalah bahasa. Biar bahasa itu menjadi jiwa kepada bangsa. Fahami slogan, bukan sekadar laungan kosong.

































Friday, October 09, 2009

Baik, Saya Pulang!


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan


"Flight Mak 22hb. KT 8. Kenduri Insya Allah 18hb".

Mesej yang diterima dari mak beberapa hari lepas menjadikan diri saya dalam dilema. Dilema antara dua - orang yang tersayang atau jalan yang saya sayang.

Kelu lidah hati untuk memberi alasan lagi bila si emak benar-benar meluahkan perlunya anak lagi-lagi si perempuan sulung untuk bersamanya saat akhir sebelum menuju ke tanah suci.
Sedar akan tanggungjawab sebagai yang 'sulung', juga sedar akan tanggungjawab pada mereka nun di atas sana yang rindukan laungan kalimah syahadah, tapi sedarkah saya pada yang perlu diberi keutamaan?

Di sini saya diuji lagi. Ada suara bilang, untuk apa lagi berfikir, tentu sahaja pergi kepada ibumu. Tidak kurang juga yang meminta untuk memujuk si ibu untuk memahami tugas ini.

" Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan amal soleh dan berkata aku adalah daripada orang-orang yang menyerah diri(muslimin)". Al - Fussilat: 33

Dakwah Itu Luas.

Selalu saya tekankan kepada sahabat-sahabat dan adik-adik CARE, jalan dakwah itu luas, tidak jumud apa lagi sempit. Cabang uslubnya boleh jadi dengan alam sekitar, seperti mana tujuan asal penubuhan CARE sendiri. Alhamdulillah, CARE kini mula bernafas baru beberapa hari, dengan wajah baru, medium baru, moga kami semua istiqamah dalam perjuangan sebagai khalifah Allah ini.

Walaupun dakwah secara langsung dan berdepan dengan mad’u dan masyarakat adalah satu sunnah terbaik, masih lagi ada cabang-cabang dakwah yang boleh dilaksanakan mengikut kemampuan. Jika hanya mampu berdakwah bil katabah atau bil hal, teruskan asal dengan niat itu dipasang kerana Allah. Dakwah bil katabah misalnya, menggunakan perantaraan blog mahupun rangkaian sosial yang kian tumbuh satu demi satu dalam penyeruan kepada pengabdian kepada Allah.

Skop perbicaraan dakwah ini terlalu luas untuk dibincangkan. Saya sendiri masih punya naik turunnya dalam perjuangan ini. Ya Allah, tetapkanlah hati aku dalam mentaati Mu.. Amin Ya rabbal Alamin.

...

Mak, saya akan pulang. Dengan izin Nya. Utamakan yang utama. Dan keluarga bagi saya lebih aula' dari segala-galanya. Tapi jalan ini tidak akan pernah berhenti.....























Tuesday, October 06, 2009

Isu Penempatan Ke Sekolah 2010


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan

Isu yang tiba-tiba hangat malam semalam. Ada pula maklumat tambahan : pengambilan guru pelatih ke IPG juga dibekukan, elaun dipotong 30%. Krisis sungguh negaraku sekarang.

Berita dari upsikini kelmarin :

"Profesor Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengeluarkan kenyataan semua penempatan lepasan UPSI ke sekolah-sekolah terpaksa dibeku bermula 2010.

Kenyataan tersebut dipetik dalam ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam 'Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia' anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa semalam."


Baca selanjutnya...

respons kepada berita yang agak menggemparkan itu :

"Sebenarnya, Profesor Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengeluarkan kenyataan semua penempatan lepasan UPSI ke sekolah-sekolah kemungkinan besar akan mengalami kelewatan untuk dipostingkan dan bukannya mengalami pembekuan. Kelewatan tersebut tidak dapat dinyatakan jangkamasanya mungkin juga mengambil masa yang agak lama dari kebiasaanya dan mahasiswa/i diminta bersedia dengan kelewatan yang berlaku juga mungkin mengambil masa berbulan.
Kenyataan tersebut dipetik dalam ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam ‘Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia’ anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa pada 3hb Oktober 2009."


kena baca lebih di sini baru faham kisah...

dan terkini dari upsikini (6/10/2009) :

"Sementara itu, pegawai terbabit turut mengesahkan kenyataan yang dikeluarkan Prof Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsan UPSI berhubung masalah penempatan yang bakal dihadapi graduan yang mengisi jawatan GSST pada tahun hadapan.

Ini katanya, merupakan langkah menjimatkan perbelanjaan apabila bilangan penempatan tahunan dikurangkan daripada 4 kali sebelum ini kepada 2 kali sahaja bermula tahun hadapan.

Oleh itu, para graduan terpaksa menunggu dalam satu tempoh yang tidak ditetapkan untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah."


baca lebih-lebih di SINI.. Ingat, jangan terus percaya berita yang anda dengar dari mulut dan kemudian sebar terus pada orang lain...


saya : alamak. isu besar ni.kalau benar bagai dikata, mereka sedang bermain-main dengan masa depan bakal guru. tunggu dan lihat saja.






















Monday, October 05, 2009

Terima Kasih Tuhan


بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan

Ahh. Lega sungguh bila sampai ke bahagian rumusan hasil kerja. Dah siap :)

............

Berpeluang bersama para karyawan hebat dalam satu sesi kuliah Asar dan bacaan puisi di Masjid Batu kelmarin memberikan satu tamparan hebat bagi orang muda seperti saya. Jarang sekali saya bersama golongan veteran dalam satu-satu majlis atau program, mendengar bisikan-bisikan semangat yang dilontarkan melalui karya-karya satira yang penuh dengan sindiran tajam mengenai hakikat yang berlaku sekarang.

Biarpun wajah mereka makin dimamah usia, namun semangat di hati sedikit pun tidak luntur dibawa arus. Hebat. Saya sungguh-sungguh kagum dengan golongan seperti ini. Sudah lama hasrat di hati untuk mendengar momokan semangat daripada Cikgu Azmi TERAS, namun peluang bersamanya kelmarin hampir membuatkan saya terasa ingin menangis akibat terlalu bersemangat!

"Orang kalau semangat bukan menangis.."
(T_T) baiklah..

Bagaimana untuk menyuntik semangat yang ada dalam diri karyawan-karyawan ini kepada orang-orang muda sekarang? Terlalu hebat.

Kami terpaksa beredar sebelum majlis selesai kerana mengejar masa untuk diskusi yang dijadualkan berlangsung selepas Isyak. Tidak terus pulang, sempat berdiskusi dan berkongsi pendapat bersama seorang sahabat dari IPGM seberang sana, seorang yang saya kira tidak punya erti takut dalam kamus hidupnya kecuali takut kepada Yang Esa. Subhanallah! Biarpun perbincangan diselingi bunyi hujan yang turun dengan lebat, tidak sedikit pun menjadi penghalang dalam perkongsian idea itu.

Terlalu singkat masa dirasakan kerana sepatutnya banyak lagi perkara yang terdetik dalam minda untuk diketengahkan, kami berkongsi pendapat mengenai isu pendidikan sekular di negara, isu gejala sosial, PTPTN yang katanya bakal 'melanda' guru-guru pelatih pula, isu 1 Malaysia, dan banyak lagi. Beliau banyak mencurahkan idea mengenai isu yang disentuh dalam usaha mencapai resolusi. Terasa diri kerdil lantas lebih banyak berdiamkan diri :)

Berakhir dengan pelawaan bantuan dan sokongan dan perjuangan kiranya diperlukan, terus bergerak kembali ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib. Hujan terus lebat tanpa menunjukkan tanda akan berhenti. Harus diredah mengenangkan slot diskusi akan bermula tidak lama lagi.

Diskusi Ilmu "Islam dari perspektif Pengajian Sosial". Entah apa yang ada pada diri ini lantas dijemput menjadi ahli panel dan tajuk diberi - Islam dan Pengajian Sosial. Luas skop ni, getus hati. Kembali berbincang dengan si penganjur, katanya, apa-apa tajuklah janji tak memudaratkan diri. Dan sememangnya satu yang terlintas dalam fikiran - Status dan Peranan Guru dalam Masyarakat. Sempat menekankan isu semasa yang berlaku seperti kedegilan SIS, pluralisme agama, sekularisme dalam pendidikan dan ternyata hasil mesyuarat CARE di pagi hari, kemudiannya bacaan puisi di petangnya dan diskusi bersama sahabat sefikrah menjadi satu titik pencerahan bagi diri saya sendiri, dan kemudiannya cuba disampaikan kepada sahabat-sahabat lain melalui program diskusi sebegini.

Terima kasih Tuhan kerana menemukan saya dengan insan-insan yang keluar dari kepompong kebiasaan lantas cuba mengajak insan-insan lain untuk bersamanya. Semoga saya mampu berada sebaris bersama mereka.

suarahati : katanya lebih kepada berhujah, bukan diskusi. Oh lihat akibatnya jika saya diberi peluang bercakap. :)) harapnya diskusi bersama sahabat-sahabat sefikrah dari kelompok IPG tidak akan terhenti di sini...























 

A.L-'I.Z.Z.A.H Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template In collaboration with fifa
and web hosting